KUALA LUMPUR — Datuk Seri S. Samy Vellu dan presiden MIC Datuk G. Palanivel dilihat sedang menuju ke arah pertembungan secara terbuka buat julung kali sejak peralihan kepimpinan Disember lalu — berhubung isu keahlian dalam Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED).
Sayap pendidikan MIC itu, yang mempunyai aset sekitar RM1 bilion, dipengerusikan oleh Samy Vellu sejak penubuhannya pada 1984 dan akan mengadakan mesyuarat pemegang amanahnya pada 7 Mac ini, antara lain bagi membincangkan agenda menambah keahlian.
Ahli-ahli MIED mempunyai kuasa untuk memilih pengerusi lembaga pemegang amanah.
Sayap itu kini mempunyai 34 ahli dengan 10 daripada mereka merupakan pemegang amanah.
MIED dijangka mengadakan mesyuarat agung tahunan pertengahan tahun ini, yang pertama sejak Palanivel menggantikan Samy Vellu sebagai presiden MIC.
The Malaysian Insider difahamkan rata-rata ramai pemimpin kanan MIC tidak gembira MIED membincangkan usaha menambah ahli, lebih-lebih tanpa diperhalusi atau dibincangkan oleh jawatankuasa kerja pusat (CWC) parti, yang mesyuaratnya dipengerusikan oleh presiden.
Malah The Malaysian Insider difahamkan lembaga pemegang amanah boleh menambah ahlinya tanpa had.
Malah seorang anggota CWC, Tan Sri Dr. K.S Nijhar telah meminta Samy Vellu selaku pengerusi MIED supaya menangguhkan mesyuarat lembaga amanah minggu depan sehingga idea menambah ahli dan pelantikan ahli baru dibincangkan di CWC terlebih dahulu.
Difahamkan, ini kali pertama keputusan seumpama itu dibantah oleh anggota lembaga amanahnya sendiri.
“Apa keperluan lembaga pemegang amanah mahu menambah ahli MIED? Lembaga pemegang amanah sudah ada 10 orang, saya rasa jumlahnya mencukupi dan begitu juga jumlah ahli MIED,” kata seorang pemimpin kanannya.
Nijhar juga merupakan salah seorang anggota lembaga pemegang amanahnya.
Selain Samy Vellu sebagai presiden, pemegang amanah terdiri daripada Palanivel, Nijhar, Tan Sri Dr. T. Marimuthu, Tan Sri G. Vadiveloo, Datuk S. Veerasingam, Datuk Dr. S. Subramaniam, Datuk M. Saravanan, Datuk T. Rajagopalu dan Datuk K.S. Balakrishnan.
Desas-desus mengenai pertembungan Samy Vellu-Palanivel dan kemungkinan dilihat ‘rebutan kuasa’ kedua-dua pemimpin ini terdedah ekoran satu SMS Nijhar yang dihantar kepada Samy Vellu. Salinannya juga dipanjangkan kepada keemua ahli MIED semalam.
“Perkembangan ini merupakan satu petanda akan wujud rebutan kuasa antara bekas presiden dan presiden semasa memandangkan Samy Vellu sudah merasakan Palanivel mula mengubah keputusan pernah dibuatnya satu per satu,” kata KP Samy yang dipecat Samy Vellu tahun lalu.
Antara lain Palanivel menyusun semula pemegang jawatan lantikan dalam CWC termasuk ketua penerangan dan setiausaha agung.
Nijhar ketika dihubungi The Malaysian Insider enggan mengulas lanjut mengenai kandungan SMS tersebut.
Dalam SMS itu, Nijhar berkata masalah pelantikan anggota baru tidak wujud pada masa-masa lalu kerana ketika itu Samy Vellu adalah presiden parti manakala sekarang Palanivel merupakan ketua MIC.
Dalam SMS berkenaan, Nijhar menulis: “YB Datuk Seri, Pengerusi MIED, merujuk kepada Agenda 3 Penerimaan Anggota-anggota Baru pada Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah MIED pada 7 Mac 2011 (Isnin depan). Saya ingin meminta agar
ia ditunda sehingga CWC MIC membincangkan dulu dan memutuskan nama-nama yang hendak disyorkan sebagai anggota baru ke dalam MIED.
“Sebagaimana kita semua tahu, MIED adalah Syarikat Awam Terhad Dengan Jaminan Milik MIC dan bukan dimiliki oleh pemegang-pemegang amanah. Kita sebagai pemegang amanah bertindak bagi pihak MIC dan oleh itu, kita tidak harus, secara langsung atau tidak langsung, bertindak dalam apa jua cara untuk mengalih kawalan ke atas MIED daripada CWC MIC
kepada anggota dan/atau kepada pemegang-pemegang amanah.
“Jika ini berlaku, dan apabila kita semua sudah meninggal dunia dan pergi satu hari nanti, MIC kemungkinan akan hilang kawalan ke atas aset yang terbesar dalam sejarahnya kepada mereka yang tidak bertanggungjawab, yang kemungkinan tidak ada nilai sentimen dan sebagainya ke atas MIC dan objektifnya.”
Dalam SMS itu juga, Nijhar berkata, “kita harus memastikan milikan dan kawalan MIC ke atas MIED dan bukannya membolehkan ia dilarikan (oleh mana-mana pihak).”
“Oleh itu, kita mesti menerima anggota baru dan melantik pemegang amanah baru hanya selepas CWC MIC mengesyorkan nama-nama berkenaan.
“Pada masa lalu, masalah ini tidak wujud sebab Presiden MIC juga (ketua) MIED. Tetapi masalah ini boleh wujud pada masa sekarang atau pada masa depan. Oleh itu, biar kita proaktif daripada bertindak kemudian,” kata anggota CWC ini.
Pada akhir 2009, bekas timbalan presiden MIC, Datuk S. Subramaniam memberi amaran agar mana-mana pihak termasuk Samy Vellu tidak membawa keluar MIED, sekali gus menjadikannya sebuah yayasan.
Subramaniam memberitahu, MIED dan AIMST merupakan dua sayap pendidikanmilik MIC, dan tidak wajar disusun menjadi entiti berasingan sebagai sebuah yayasan.
MIED kini menguruskan AIMST atau Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia yang terletak di Semeling, Kedah.
Pada tahun 1996/97, MIED menerusi MIC memulakan usaha menubuhkan AIMST. MIED juga menyediakan bantuan kewangan pendidikan.
Ketika itu, Samy Vellu menegaskan, tiada apa-apa kaitan antara MIED dan AIMST dengan MIC.
Samy Vellu menambah, kedua-dua sayap pendidikan itu ditubuhkan atas kapasiti peribadi beliau sebagai presiden MIC apabila pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad meminggirkan masyarakat India daripada arus perdana pembangunan negara ini.
Malah kata Samy Vellu ketika itu, oleh kerana beliau merupakan presiden MIC, itu tidak bermakna MIED dan AIMST adalah milik parti itu.
Samy Vellu menjadi presiden pada 1981 dan bersara Disember lalu.
Mengulas isu yang timbul akhir 2009, KP Samy menambah, “apa yang saya khuatir dua tahun lalu mula wujud hari ini.”
“Apa pun saya berharap MIED harus kekal dalam kawalan MIC dan CWC khususnya presiden parti (Palanivel) perlu menentukan siapa pengerusi lembaga pemegang amanah dan anggota-anggota baru MIED,” kata bekas anggota CWC ini.
“Tindakan yang diambil Nijhar adalah betul kerana kita tidak mahu sampai MIED dilarikan daripada milik MIC dan masyarakat India,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan