Sabtu, 26 Februari 2011

Kalau-Kalau Muhyiddin Yassin Terbaca Posting Ini

MSO

INI ada satu masalah rakyat kecil tergolong dalam golongan marhaen. Kisah atau masalahnya mudah sahaja tetapi disebabkan prosuder atau peraturan maka ia menimbulkan sedikit masalah. Masalah ini akan selesai tidak sampai sehari kalau ia menimpa diri mereka yang berstatus, atau waris Menteri ataupun Pengarah atau pun Ketua Setiausaha Kementerian. Mudahnya orang besarlah. Ini hakikat yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.

Tetapi kerana segala kemudahan dan hubungan itu tidak ada, maka rakyat kecil ini berdepan dengan masalah yang tidak sepatutnya berlaku. Bagi saya apa yang dialami rakyat kecil ini termasuk satu penganiayaan yang tidak disengajakan.

Saya percaya dan yakin kalau masalah ini sampai ke pegetahuan menteri atau perdana menteri ia akan diselesaikan segera, kerana penyelesaian ini juga termasuk dalam slogan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Tetapi kerana kes ini tidak berpeluang untuk ke pengetahuan menteri atau perdana menteri maka ia menjadi masalah kepada rakyat kecil ini.

Begitu juga kalau tertakdir berlakunya pilihan raya di kawasan rakyat kecil ini, mungkin masalahnya akan diselesaikan. Selalunya pihak berwajib akan mudah menyelesaikan masalah rakyat di mana kawasannya bedepan dengan pilihan raya kecil. Dalam pilihan raya kecil banyak projek kilat dan banyak masalah diselesaikan secara kilat.

Di kala ini bukan saja rakyat kena berbaris atau pun bersusah ke Putrajaya hendak jumpa setiausaha menteri, atau timbalan menteri atau perdana menteri, tetapi para penama dan pemuka ini akan datang sendiri menjenguk mereka. Itu pun dengan syarat dia menjadi pengundi di dalam kawasan yang terlibat dengan pilihan raya itu.

Sayang pula kawasan di mana rakyat kecil ini diami tidak ada pilihan raya kecil waktu ini.

Apa masalahnya? Masalahnya ialah nasib seorang anak yatim bernama Rasyiqah Abdul Wahid, 13 (foto). Dia seorang pelajar cemerlang Sekolah Kebangsaan Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar Perak. Dalam ujian UPSR tahun 2009 dia mendapat 5A.

Kerana kecemerlangan itu dia terpilih ke Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahbudin, Bukit Mertajam Pulau Pinang. Kemasukan itu sesungguhnya menggembira dia dan juga keluarganya.

Malangnya takdir menimpanya, ayahnya meninggal dunia. Akibat itu menyebabkan ibu dan adik beradik lain (seramai empat orang) terpaksa berpindah ke Kuala Lumpur, kediaman asalnya mereka sebelum mereka berpindah ke kampungnya di Kuala Kangsar. Alasan perpindahan itu kerana di kampung itu tidak ada sesiapa tempat bergantung dan masalah mendapat rezeki untuk meneruskan kehidupan agak sukar.

Perpindahan itu memberi kesan kepada pembelajaran Rasqiyah ini. Dia masih kecil, dalam usia baru 13 tahun apalah dapat diharapkan, untuk uruskan dirinya sendiri pun tidak terurus. Betul pihak sekolah dan kerajaan menyediakan kemudahaan sesuai dengan sekolah Sains berasrama penuh, tetapi jarak tempat tinggal ibunya menjadi masalah.

Dengan pendapatan si ibu tidak sampai RM300 sebulan, duit pencen (KWSP) suami pula tidak ada lagi, sukar untuk si ibu menguruskan anaknya ini bila sesekali si anak berhadapan dengan masalah kesihatan, atau pun bila cuti di mana Rasqyiah hendak pulang ke Kuala Lumpur si ibu perlu turun ke Bukit Mertajam. Kenderaan sendiri tidak ada, manakala menyewa kenderaan untuk pergi balik ke Bukit Mertajam ke Kuala Lumpur, memerlukan jumlah wang yang banyak.

Kerana kerumitan itu akhirnya keputusan diambil atas kehendak Rasqiyah juga, agar ia ditukar ke sekolah lain di Kuala Lumpur, berdekatan dengan kediaman ibu dan adik beradiknya yang lain. Biarlah tidak sekolah berasrama penuh dan beraliran sains, tidak mengapa asalkan dapat duduk berdekatan dengan ibu. Yang menjadi tambah masalah pelajar ini anak bongsu.

Akhir tahu lalu permohonan kepada pihak sekolah dibuat agar pelajar kecil ini ditukar ke sekolah biasa. Pihak sekolah juga menulis surat mengemukakan permohonan untuk mengeluarkan Rasqiyah dan menyambungkan pembelajarannya di sekolah menjadi pilihannya, iaitu sekolah berdekatan dengan kediam ibunya. Sekolah yang diipilih ialah Wangs Maju, Kuala Lumpur, bukan sekolah berasrama penuh.

Surat permohonan yang dikemukakan oleh pihak sekolah bertarikh 3 Januari lalu. Ini bermakna sudah dua bulan permohonan itu dalam proses. Malangnya pertukaran itu masih belum terlaksanakan lagi kerana beberapa sebab dan peraturan yang dikatakan tadi.

Ibu si anak ini pergi ke sekolah yang menjadi pilihan anaknya itu, dengan harapan kalau-kalu boleh anaknya ditumpangkan belajar dulu di sekolah berkenaan. Malangnya pihak sekolah tidak berani membenarkannya kerana butiran pertukaran belum diterima lagi. Pengetua sekolah berkenaan baru berani menerima permohonan itu setelah ada kelulusan dari pihak jabatan.

Kita kena mengakui akan peroses ini memakan masa. Saya telah mengambil inisiaf bertanyakan seorang kawan yang berkkhidmat di kementerian pelajaran. Beliau menjelaskan memang proses pertukaran dari sekolah sains ke sekolah biasa memakan masa. Ini kerana ia kena melalui proses biasa dari bawah ke atas. Katanya lagi sebab rekod pelajar berkenaan tidak ada di sekolah biasa tetapi sudah disenaraikan dalam sekolah sains. Betullah itulah amalan selama ini.

Apa yang hendak ditimbulkan di sini ialah kenapa terlalu lama sangat. Untuk menunggu sampai bulan April bayangkan betapa ruginya masa pembelajaran budak ini. Apakah tidak boleh diketepikan soal prosuder itu tetapi menggunakan kebijaksanaan untuk dengan memberi ehsan dan simpati dalam kes ini. Saya rasa boleh, tetapi masalah seperti dikatakan tadi pelajar ini tidak bernasib baik, tidak memiliki hubungan dengan sesiapa di atas.

Begitu juga rasanya tidak menjadi kesalahan besar kalau pelajar ini ditumpangkan sementara di sekolah yang diminta itu. Seperti mana kata kawan tadi hal itu pernah berlaku, cuma ia bergantung kepada sikap pengetua sekolah. Beliau lantas menyebut anak kawannya menghadapi masalah sama, tetapi diberi belajar tumpang kerana pengetua sekolah berkenaan membenarkannya. Saya rasa peraturan yang dipatuhi oleh guru berkenaan tidak bersifat rakyat didahulukan.

Saya nak rengkaskan catatan ini dengan harapan begini; kalaulah mana-mana pegawai menteri, atau timbalan menteri ataupun pengarah pelajaran terutamanya pihak menguruskan pertukaran ini terbaca catatan ini, bolehlah ambil perhatian dan diberikan pertimbangan. Korbankan sedikit soal prosuder dan pandanglah kepada nasib pelajar ini yang sudah ketiadaan bapa dan masih mentah untuk memikirkan soal prosuder, soal pilih kasih atau periority. Kenanglah dalam usia sekecil itu apa yang dia boleh lakukan selain mengharap simpati dan ehsan.

Saya percaya dan yakin kalau nasib pelajar ini dibela dan dibantu bukan saja pelajar berkenaan akan berterima kasih, tetapi rakyat lain yang bersimpati dengan pelajar ini juga akan mengucapkan terima kaish kepada pihak membantunya, dalam hal ini kerajaanlah.

Saya sertakan butiran pelajar ini unutuk rujukan;
Nama: Rasqiyah binti Abdu Wahid.
Rujukan surat permohonan dikemukakan pihak sekolah SMSTSSS/02/09/002(80).

Kepada mana-mana pihak baik persorangan dan pihak jabatan pelajaran hinggalah kepada menteri yang membaca dan memberi perhatian kepada pelajar ini saya ucapkan berbanyak terima kasih. Dan saya rasa ada dari kalangan penjenguk saya yang bersimpati dengan Rosyiqah ini

Tiada ulasan: