Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata tindakan Najib mengumumkan pembangunan setiap kali adanya pilihanraya kecil membuktikan Najib telahpun merancang untuk membawa pembangunan hanya apabila ada pilihanraya kecil atau dalam erti kata lain, selepas wakil rakyat kawasan tersebut meninggal dunia.
"Sebenarnya dia bukan memancing undi, RM10 juta itu, dia memang telah merancang. Polisinya ialah peruntukkan untuk pembangunan akan dibuat hanya apabila ada pilihanraya kecil, dengan kata lain, Najib memang mmengharapkan wakil rakyat meninggal dunia," kata beliau.
Tambahnya, pembangunan infrastruktur dan sebagainya dilakukan dalam kadar yang cepat apabila adanya pilihanraya kecil, bukannya semasa wakil rakyat kawasan tersebut masih menjalankan tugasnya.
Kata beliau lagi, Malaysia mungkin satu-satunya negara di mana pemerintahnya mengamalpan polisi sebegini.
"Jadi ini satu polisi yang pelik, tak ada negara di dunia yang mengamalkan polisi seperti ini. Sebab secara terang-terangan, kalau tak ada pilihanraya kecil dia takkan buat. Umumkan pembangunan RM10 juta dan semua itu, dia kata tak pancing undi. Pancing undi memanglah salah dari segi peraturan, tapi apa yang Najib buat ini melebihi daripada setakat kesalahan memancing undi," jelas beliau.
Dalam pada itu, Azan turut mempersoalkan ketelusan projek yang diumumkan kerana tiada tender terbuka diumumkan berkenaan projek tersebut sebelum ini.
Beliau menyuarakan kesangsian bahawa projek sebegini mungkin satu kaedah membantu sesama kroni BN kerana perbelanjaan pembangunan adalah perbelanjaan yang telahpun dibincangkan dan diluluskan di Parlimen, dan hanya menunggu perlaksanaan sahaja.
"Perbelanjaan itu kita perlu tahu, yang diumumkan bukannya kepada rakyat RM10 juta itu tetapi kepada kroni. Kita tengok, nilai RM10 juta, kerja buat jalan, paip air itu semua dibuat tiada tender, perbelanjaan serta-merta untuk pilihanraya. Dan perbelanjaan ini siapa yang keluarkan? Kerajaan keluarkan, dan kepada siapa? Kepada kroni," tegas beliau.
Tambahnya, keengganan Najib mengumumkan pembangunan sebelum ini jelas menampakkan hasratnya iaitu menunggu wakil rakyat meninggal dunia agar dapat mengumumkan pembangunan semasa pilihanraya kecil berlangsung.
"Maknanya dia telahpun menafikan pembangunan di Kerdau dan apabila ada pilihanraya kecil sahaja barulah dia buat. maknanya wakil rakyat dia mati barulah dia buat. Begitulah teruknya sistem pentadbiran yagn diamalkan atau diteruskan oleh Najib dalam era dia," kata beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan