Sabtu, 26 Februari 2011

Harga Getah Diramal Turun Minggu Depan

Ditulis oleh BERNAMA



KUALA LUMPUR : Harga-harga getah Malaysia dijangka turun kerana pembetulan teknikal minggu depan, kata para peniaga. Seorang peniaga berkata walaupun pasaran mungkin diniaga rendah, ia masih lagi memberangsangkan.

"Walaupun pengeluaran getah pada masa ini agak ketat, para peniaga akan mengambil pendirian tunggu dan lihat kerana menjangkakan harga akan jatuh," kata beliau.

Beliau berkata niaga hadapan getah Tokyo yang diunjur melantun semula selepas harga ditutup melepasi paras psikologi utama 470 yen sekg ekoran bekalan ketat bermusim, dijangka mampu memberi sokongan.

Berdasarkan perbandingan mingguan, harga jualan fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia untuk gred tayar SMR 20 merosot 102 sen kepada 1,632 sen sekg daripada 1,734 sen sekg sebelumnya.

Susu getah pukal menokok 12.5 sen kepada 1092 sen sekg daripada 1,079.5 sen sekg Jumaat lepas.

Harga penutup jualan tidak rasmi untuk gred tayar SMR 20 turun 99.5 sen kepada 1,628 sen sekg daripada 1,727.5 sen sekg minggu lepas sementara susu getah pukal meningkat 5.5 sen kepada 1,091.5 sen sekg daripada 1,086 sen sekg sebelumnya.

Tiada ulasan: