Sabtu, 26 Februari 2011

KDN minta IGP secara peribadi pantau Hindraf

BERNAMA

TEMERLOH – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah meminta Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar untuk memantau secara peribadi dan mengambil tindakan tegas jika kumpulan Hindu Rights Action Force (Hindraf) mencetuskan kekecohan di negara ini.

“Saya telah minta Ketua Polis Negara memantau dan mengambil tindakan secara langsung... beliau akan bertanggungjawab untuk pastikan gerakan haram ini tidak menjejaskan keadaan dan suasana,” kata Hishammuddin ketika ditemui selepas proses penamaan calon pilihan raya kecil DUN Kerdau di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengarahkan pihak berkuasa agar mengambil tindakan undang-undang terhadap Hindraf bagi memastikan pertubuhan haram itu tidak muncul kembali.

Hindraf dilapor merancang mengadakan perarakan raksasa di ibu negara esok dari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hingga ke Jalan Dang Wangi.

Hishammuddin berkata, Hindraf dilihat cuba mewujudkan suasana seperti di Negara Timur Tengah namun ia tidak mendapat sambutan orang ramai.

“Kita tahu niat dan hasrat mereka, kita tahu ada pihak-pihak tertentu yang nak cuba membawa sentimen yang kita lihat berlaku di Timur Tengah ke sini, tetapi keadaan di sini berbeza dan tidak menjurus ke arah itu,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang masih berdegil untuk menyertai perhimpunan haram itu esok.

Beliau berkata perhimpunan itu tidak mendapat permit polis.

Katanya perhimpunan itu akan memberi kesan buruk terutamanya dari aspek keselamatan dan ketenteraman awam terutama apabila kawasan berkenaan menjadi tumpuan ramai pada hujung minggu.

“Kepada pihak yang terlibat dengan perhimpunan ini, saya ingatkan janganlah diadakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan tapak Surau Baitul Rahman di Taman Perumahan Aman Perdana di Klang.

Terdahulu, dalam ucapannya Ismail berkata ancaman seperti hasutan dan tuntutan tertentu yang melampau memberi kesan tidak baik dan boleh menggugat ketenteraman awam.

Tiada ulasan: