Ahad, 27 Februari 2011

Peneroka diberi tiga pilihan bayaran CESS


BERNAMA

TEMERLOH — Pengurusan Felda memberikan pertimbangan khas kepada 7,800 peneroka yang melibatkan 28 Felda di seluruh negara berhubung “bayaran CESS” dan bayaran balik tanaman semula dari getah kepada kelapa sawit.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata sehubungan itu Felda memberikan tiga pilihan kepada warga peneroka berhubung bayaran CESS berkenaan.

Pilihan pertama ialah peneroka menerima bayaran kira-kira RM13,000 tetapi bayaran kembali (BK) mereka akan bertambah sebanyak RM650 sebulan sementara pilihan kedua CESS ialah mereka dapat separuh, RM6,500 dan BK mereka adalah RM500 sebulan, kata beliau.

“Kita buat satu pertimbangan khas, perkara ini sudah berlalu maknanya mereka telah melakukan tanaman semula dari getah ke sawit sejak tahun 2004.

“Pada masa itu, memang tak ada bayaran CESS yang kita nak beri kepada mereka. Rayuan yang dibuat oleh mereka, maka setelah dibincang, kita ambil keputusan untuk bagi mereka tiga pilihan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk Felda 25 di sini, hari ini.

“Kalau mereka tak nak tuntut apa-apa, mereka bayar balik BK mereka RM400. Saya fikir inilah bentuk penyelesaian yang sebaik-baiknya. Kita serah kepada peneroka untuk buat keputusan,” katanya.

Terdahulu Najib turut melawat dan beramah mesra dengan penduduk di Felda Jengka 22 dan Felda Jengka 23.

Ketika berucap pada majlis di Felda Jengka 22, beliau berkata kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengambil berat segala permasalahan membabitkan warga peneroka.

Pada lawatan itu Najib turut merasmikan majlis pecah tanah dewan semai bakti Felda Jengka 22 dan Jengka 25 serta merasmikan gelanggang futsal terbuka di kedua-dua Felda berkenaan.

Beliau berkata projek berkenaan sebenarnya telah dirancang lebih awal lagi dan tidak ada kaitan dengan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kerdau.

“Projek-projek ini kita telah umum lebih awal lagi, cuma pada pilihan raya ini kita cepatkan sikit saja lah,” katanya.

Najib berkata pembangunan tanah rancangan Felda telah mendapat pengiktirafan daripada negara-negara Islam yang lain.

“Harapan kita semalam lebih baik dari hari ini, dan kehidupan warga peneroka sebenarnya lebih baik hari ini dari semalam, dan kita akan pastikan hari esok lebih baik dari hari ini, untuk itu saya berharap warga peneroka terus menyokong kerajaan BN untuk kehidupan yang lebih di hari esok,” kata Najib.

Tiada ulasan: