Isnin, 28 Februari 2011

Kerajaan Selangor akan umum butir-butir audit Yayasan Selangor, PKNS

BERNAMA

KUALA SELANGOR — Kerajaan Selangor akan mengumumkan tidak lama lagi butir-butir lengkap laporan audit mengenai Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Yayasan Selangor, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) hari ini.

Beliau berkata ini perlu demi menjelaskan kepada umum tentang kedudukan sebenar kedua-dua anak syarikat negeri itu.

“Laporan audit Yayasan Selangor seharusnya siap paling lewat Mac ini selepas akaun ditutup pada 31 Disember, tahun lalu.

“Sementara laporan audit PKNS sudah siap dan kita telah menghantarnya ke Jabatan Audit Negara untuk mereka sendiri pula melakukan audit.

“Ini akan siap paling lewat menjelang April, Mei atau Jun,” kata Abdul Khalid kepada Bernama ketika ditemui selepas menghadiri program Sukan Komuniti Adun Ijok di Bestari Jaya dekat sini.

Beliau diminta mengulas gesaan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar supaya menteri besar mendedahkan laporan audit dua anak syarikat negeri itu selepas tercetus kontroversi mengenainya baru-baru ini.

Yayasan Selangor disiasat baru-baru ini selepas ia dikatakan membelanjakan RM300,000 untuk majlis makan malam ulang tahun ke-40nya, yang menyebabkan Sultan Sharafuddin Idris Shah rasa kurang senang, dan enggan menghadiri majlis.

PKNS pula dikatakan telah menaja perkahwinan angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha pada jumlah lebih RM500,000.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata beliau akan terus menentang di mahkamah keputusan Mahkamah Rayuan pada Khamis bahawa Peguam Negara mempunyai lokus standi untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar kesahihan arahan setiausaha kerajaan negeri bahawa kakitangan awam negeri hanya boleh disoal oleh Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) di pejabat mereka masing-masing.

“Kami akan tetap menentang (keputusan) di mahkamah. Terdapat prinsip di parlimen bahawa kita wajib melindungi hak pekerja,” katanya.

Tiada ulasan: