SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM – UMNO sekarang yang dikatakan berbeza dengan UMNO ketika zaman ayahnya membuatkan anak Allahyarham Tan Sri Khir Johari berjuang bersama DAP sehingga dilantik menjadi setiausaha politik kepada Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng.
Zairil Khir , 28, berkata, UMNO yang pernah diperjuangkan ayahnya bersama Tunku Abdul Rahman Putra, kini adalah sebuah parti politik yang 'kosong' dan hanya tinggal jasad.
"Saya sendiri amat kecewa melihat keadaan ini. UMNO sering diperalat pemerintah bagi kepentingan peribadi," katanya kepada Sinar Harian.
Dalam situasi ini, katanya, DAP sebagai parti berbilang kaum sama seperti PKR menganggap perjuangan politik berasaskan sentimen perkauman sudah tidak relevan.
"Kita mahu tumpu kepada politik progresif untuk kebaikan bersama," katanya.
Zairil berkata, beliau sendiri sedar ramai yang memandang serong kepadanya apabila anak kepada seorang pengasas UMNO dan pejuang kemerdekaan memilih untuk berpolitik bersama DAP, bukan UMNO.
“Mereka yang berpandangan demikian tidak berupaya untuk melangkaui rangka pemikiran sempit. DAP ada wakil tertinggi daripada setiap kaum. Dalam sejarahnya, pernah ada Melayu jadi pemimpin DAP. Jelas sekali ini sebuah parti berbilang kaum,” katanya.
Zairil turut menafikan tanggapan sesetengah pihak beliau guna populariti nama ayahnya sebagai batu loncatan, manakala DAP pula sekadar mahu meraih kemenangan moral apabila anak kepada seorang pemimpin besar UMNO menyertai parti itu, malah diberi jawatan tinggi.
“DAP tidak guna nama ayah saya. Media yang gembar-gemburkan isu itu. Namun saya tidak boleh lari daripada hakikat bahawa ayah saya seorang daripada pengasas UMNO,” katanya.
Ditanya mengenai dakwaan beliau hanya satu watak dalam 'wayang’ kepada DAP untuk menunjukkan parti tersebut berbilang kaum, Zairil menegaskan, pelantikannya bukanlah 'alang-alang' kerana diberi jawatan mencabar.
“Saya bekerja bawah ketua yang sentiasa mempunyai ekspetasi yang tinggi terhadap hasil kerja pegawai-pegawainya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan