Ahad, 27 Februari 2011

Kerajaan Kedah Tanggung Hantar Balik Pelajar Ke Mesir

Ditulis oleh BERNAMA



ALOR SETAR : Kerajaan Kedah akan menanggung perbelanjaan menghantar pulang pelajarnya ke Mesir di samping membekalkan wang saku RM500 seorang kepada mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengumumkan berita itu kepada lebih 800 pelajar Kedah yang belajar di Mesir pada satu majlis perjumpaan di sini hari ini.

Beliau berkata RM2.5 juta diperuntukkan untuk menghantar pelajar pulang yang dibiayai bersama anak-anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kedah seperti Syarikat Air Darul Aman, Bina Darulaman Berhad dan Syarikat Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah Sdn Bhd.

"Bagaimanapun pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Jabatan Perkhidmatan Awam tidak akan ditanggung oleh kerajaan negeri.

"Tapi kita akan pertimbangkan untuk pelajar bukan tajaan Mara tapi dapat pinjaman Mara. Kalau Mara tak tawarkan tempat untuk mereka, kita mungkin akan hantar mereka balik sekali," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata kerajaan negeri telah menyewa khas tiga pesawat Egypt Air untuk tujuan penghantaran pulang pelajar ke Mesir bermula 5 hingga 10 Mac ini.

Azizan berkata sebanyak empat penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kaherah dijadual dilakukan dengan membawa lebih 200 pelajar bagi setiap penerbangan.

Katanya enam buah bas disediakan untuk membawa pelajar dari Wisma Darul Aman di sini ke KLIA. Pelajar diminta mendaftar diri mulai hari ini dengan mengemukan pasport masing-masing untuk diuruskan oleh Yayasan Islam Kedah.

Beliau juga berkata kerajaan Mesir juga telah menawarkan sebidang tanah secara percuma kepada kerajaan negeri untuk pembinaan bangunan asrama pelajar Kedah di sana.

Kerajaan Negeri hanya perlu menanggung kos pembinaan bangunan asrama berkenaan, manakala kos penyelenggaraan serta makan dan minum pelajar akan ditanggung oleh pihak Universiti Al-Azhar sepanjang tempoh pengajian pelajar,katanya.

Tiada ulasan: