Ahad, 27 Februari 2011

Merlimau: PAS perlu 45 peratus undi Melayu terima Adun ‘sulung’


JASIN — PAS memerlukan 45 peratus undi Melayu untuk merampas kerusi Merlimau, yang selama ini merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN), sekali gus menghantar wakil rakyat pertamanya ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Datuk Halim Abdul Rahman berkata, pihaknya kini sudah berjaya memperoleh 41 peratus undi Melayu dan memerlukan empat peratus lagi untuk mencapai kemenangan.

“Saya harus akui bahawa kita tidak mempunyai peluang untuk menang tapi kita yakin dengan strategi di sini kita boleh mendapatkan 61 peratus undi,” katanya pada sidang media Markas PAS di sini.

Halim berkata PAS juga menyasarkan 75 peratus undi Cina dan 40 peratus undi India.

Ini pilihan raya kecil ke-15 sejak 8 Mac 2008 dan yang pertama di Melaka.

DUN Merlimau yang mempunyai 10,679 pengundi berdaftar, meliputi tujuh daerah mengundi iaitu Ayer Merbau, Chinchin, Jasin Lalang, Merlimau Utara, Merlimau Pasir, Permatang Serai dan Pengkalan Samak.

Daripada jumlah itu, pengundi Melayu terdiri daripada 6,935 orang (64.9 peratus), Cina 2,218 orang (20.8 peratus), India 1,510 orang (14.1 peratus) dan lain-lain 16 orang (0.2 peratus).

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad menafikan parti Islam itu menggunakan pengaruh pelakon, pelawak dan penulis lirik Bob Lokman dalam kempen pilihan raya kecil Merlimau semata-mata mahu meraih sokongan pengundi Melayu di kawasan itu.

Sebaliknya, Idris berkata parti Islam itu akan menggunakan apa sahaja pendekatan yang boleh membantu meraih sokongan pengundi termasuk pengundi Melayu.

“Kita ambil semua, di kalangan ulama pun ada, wanita pun ada, orang muda juga ada dan juga Bob Lokman.

“Kalau kita lihat pengundi-pengundi sama ada ada PhD sampai tak ada kelulusan juga adalah peminat Bob Lokman,” katanya.

Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman telah menyertai PAS pada 19 Februari lalu.

Beliau merupakan salah seorang penceramah jemputan PAS pada pilihan raya kecil DUN Merlimau yang berlangsung ini.

Malam tadi Bob Lokman turut memberikan ceramah di Merlimau Pasir yang dihadiri kira-kira 500 orang.

Tambah Idris, penyertaan Bob Lokman dalam kempen pilihan raya PAS akan membantu meraih sokongan pengundi Melayu.

“Ini salah satu pendekatan kita selama ini, kita lihat dan saya anggap sebagai satu sindiran tajam tentang pada orang yang sedikit tahu hal agama tiba-tiba menyertai perjuangan PAS.

“Walaupun dulu Bob Lokman adalah seorang artis tapi beliau berminat untuk bersama dengan PAS,” katanya.

Pada sidang media itu juga, Idris menegaskan pengundi Melayu perlu memberikan sokongan kepada calon PAS Yuhaizat Abdullah agar Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka itu akan menjadi penasihat kepada kerajaan negeri Melaka dalam isu-isu yang melibatkan hal ehwal agama Islam.

“Kita harap pengundi akan pilih wakil rakyat PAS-Pakatan Rakyat untuk menjaga hal ehwal agama Islam seterusnya berganding bahu dengan wakil rakyat DAP seramai lima orang.

“Kira harap beliau (Yuhaizat) dapat mewakili PAS di Melaka untuk tegur pihak kerajaan terutamanya dalam hal-hal penghormatan agama Islam,” katanya.

Melaka mempunyai 28 kerusi yang mana 23 dimenangi BN manakala lima diwakili DAP.

Yuhaizat akan berdepan calon BN Roslan Ahmad, ahli jawatankuasa Umno Jasin.

Tiada ulasan: