Bagi pengguna kenderaan Malaysia, insurans kenderaan anda akan meningkat secara berperingkat bermula pada tahun 2012 hingga 2015, dalam usaha kerajaan untuk mengimbangi kerugian yang ditanggung syarikat insurans.Berikut adalah kenyataan akhbar mengenai kenaikan harga insurans kenderaan bermotor ini.
KUALA LUMPUR 25 Feb. – Insurans kenderaan bermotor akan meningkat secara berperingkat, bermula tahun hadapan hingga 2015 dalam usaha mengimbangi kerugian yang ditanggung syarikat insurans.
Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, walaupun terdapat peningkatan selama lima tahun berturut-turut namun ia tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah kerana kenaikannya adalah kecil.
“Penstrukturan ini juga akan melibatkan motosikal, kereta, bas dan teksi dan setiap kenaikan adalah berbeza mengikut risiko kemalangan kenderaan terbabit melalui kriteria rekod kemalangan serta keadaan kenderaan semasa tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kata Abu Hassan Alshari, anggaran awal kenaikan bagi insurans pihak ketiga motosikal 100cc ke bawah adalah antara RM1 hingga RM3.50 setahun manakala insurans pihak pertama antara RM1 hingga RM2 setahun.“Bagi kereta persendirian 1,400cc ke bawah, insurans pihak ketiga hanya meningkat antara RM6 hingga RM34 manakala insurans pihak pertama antara RM7 hingga RM19.
“Pemandu yang kurang risiko kemalangan atau tidak pernah merekodkan kemalangan akan dikenakan kenaikan kadar insurans yang lebih rendah berbanding yang kerap mengalami kemalangan,” jelasnya.
Tambah beliau, kajian dibuat keatas kedua-dua jenis kenderaan berkenaan terlebih dahulu kerana 70 hingga 80 peratus kenderaan di Malaysia berada dalam kelas berkenaan.
Selain itu, Abu Hassan Alshari berkata, penstrukturan itu juga akan mengurangkan tempoh pembayaran pampasan daripada tiga hingga lima tahun kepada 18 bulan sahaja berikutan penubuhan Jawatankuasa Kerja Bersama (JWC).
Katanya, jawatankuasa tersebut akan membincangkan isu berbangkit dan membentuk rangka kerja yang komprehensif untuk kebaikan bersama.
Mengulas lanjut, Abu Hassan Alshari berkata, penstrukturan tersebut terpaksa dibuat kerana syarikat insurans mencatat kerugian yang besar dalam bahagian motor dan jika tidak dikawal ini akan menyebabkan industri berkenaan merudum dan akhirnya memberi impak kepada pengguna.“Perangkaan 2009/2010 menunjukkan perniagaan insurans motor mencatat kerugian RM650 juta disebabkan tuntutan pampasan kecederaan kemalangan yang sangat tinggi,” jelasnya.
“Bagaimanapun penstrukturan semula ini masih di peringkat perbincangan dengan pihak yang terlibat. BNM akan mengumumkan skim insurans terbaharu tersebut selepas kajian lengkap dibuat,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu, JWC akan dianggotai oleh pihak yang terlibat dalam proses pembayaran insurans iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan, Majlis Peguam, Badan Kehakiman, industri insurans dan takaful serta persatuan penguna dan pengangkutan.
Abu Hassan Alshari berkata, setiap anggota JWC akan menghantar rekod kerja kepada Majlis Ekonomi dan jika ada sebarang kelewatan atau masalah laporan ia perlu dinyatakan.
“Langkah ini akan meningkatkan keupayaan dan kepantasan proses tuntutan insurans negara dan mengurangkan kerenah birokrasi yang banyak membebankan rakyat,” ujarnya.
Daripada kenyataan di atas, dapatlah kami simpulkan beberapa fakta di bawah:
Motosikal bawah 100 cc
- Insurans Pihak Ketiga- anggaran RM 1-RM 3.50 kenaikan setiap tahun
- Insurans Pihak Pertama-anggaran RM 1-RM 2 setahun
Kereta Persendirian bawah 1400 cc
- Insurans Pihak Ketiga- anggaran RM 6-RM 34 kenaikan setiap tahun
- Insurans Pihak Pertama-anggaran RM 7-RM 19 kenaikan setahun
Alasan langkah menaikkan harga insurans kenderaan ini adalah kerana ingin membantu perniagaan insurans motor yang mencatatkan kerugian hampir RM650 juta akibat kadar kemalangan yang tinggi.Sebelum itu, adalah lebih baik anda melihat rujukan statistik kemalangan jalan raya di bawah dari tahun 2000 – 2009 yand di ambil daripada Jabatan Keselamatan Jalan Raya(JKJR)
Apa yang kami ingin anda lontarkan pendapat, adakah wajar kenaikan insurans bermotor hanya melibatkan kenderaan bawah 100 cc dan 1400 cc sahaja? Bagaimana pula harga insurans bagi kenderaan 100 cc dan 1400 cc ke atas? Seperti yang kita fahami, lingkungan golongan yang menggunakan motosikal 100cc ke bawah dan memandu kereta 1400 cc adalah di antara yang teramai di atas jalanraya iaitu mewakili hampir 70% kenderaan?
Bukankah mereka ini golongan rakyat berpendapatan sederhana? Bagaimana pula golongan “berduit” yang pakai kereta mewah 1800 cc dan ke atas? Sudahlah golongan berpendapatan sederhana dan miskin bandar ini bergelut dengan segala macam kenaikan, dan kali ini, untuk menyelamatkan perniagaan syarikat insurans daripada merudum, ditambah lagi cadangan kenaikan insurans ini pula?
Soal kami, mengapa golongan “miskin bandar” ini sahaja yang terpaksa menanggung kenaikan? Mengapa tidak golongan-golongan yang berada? Golongan berpendapatan sederhana ini juga membayar harga minyak yang sama bagi setiap liter seperti golongan kaya. Namun mengapa hanya golongan pendapatan sederhana sahaja yang ditekan?
Apa-apa pun, ini hanya baru cadangan.Namun bagi pendapat kami, kenaikan itu haruslah diteliti dengan lebih teliti. Cadangan kami agar statistik kemalangan bagi kenderaan mewah juga harus di ambil kira.Ini boleh diguna pakai dalam menentukan kenderaan yang berpotensi “tinggi” untuk terlibat dalam kemalangan, terutamanya kemalangan maut.
Sekarang kami nak tanya anda, adakah anda bersetuju dengan cadangan kenaikan harga insurans ini?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan