Isnin, 28 Februari 2011

Muhyiddin sumbang ganjaran kaum pendidik RM18 juta



Muhyiddin Yassin (depan) sewaktu lawatannya ke sekolah SMK Tun Syed Zahiruddin Merlimau hari ini. — Foto Jack Ooi

JASIN - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ganjaran “tawaran baru” bernilai RM18.4 juta kepda pengetua dan guru, yang telah mempamerkan prestasi cemerlang melepasi sasaran Bidang Hasilan Utama Nasional (NKRA) — perkembangan yang dilihat sebagai usaha menarik sokongan golongan pendidik ke arah Barisan Nasional (BN).

Timbalan presiden Umno ini berkempen bagi calon BN pada pilihan raya kecil Merlimau di sini dan menggunakan kesempatan untuk mengumumkan ganjaran atas kapasitinya sebagai menteri pelajaran.

Seramai 586 pengetua menerima RM7,500 seorang. Lima peratus guru, dari sekolah yang sama, akan menerima RM1,800 seorang atas prestasi mereka manakala staf perkhidmatan pendidikan yang lain pula diberi RM900 seorang.

“Ganjaran bagi pengetua bertujuan untuk membantu meningkatkan kualiti pelajar dengan meningkatkan prestasi guru,” kata timbalan perdana menteri pada majlis yang diadakan di Sekolah Menengah Tun Syed Zahiruddin di Merlimau hari ini.

Skim baru ini sebahagian daripada dana RM2.492 bilion yang disalurkan kepada sekolah dan jabatan-jabatan pelajaran di seluruh negara, dilihat sebagai satu lagi usaha kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Muhyiddin berkata di bawah Tawaran Baru kepada pengetua yang dijanjikan kerajaan pada tahun lepas, hari ini seramai 586 guru besar yang berjaya dari seluruh negara menerima ganjaran tersebut.

“Staf sokongan seperti kerani di 586 sekolah yang berjaya itu juga akan diberi imbuhan yang setimpal kerana mereka juga memberi sumbangan kepada sekolah tersebut. Kadar ganjaran belum ditetapkan,” katanya.

Di bawah Tawaran Baru itu, pengetua menerima ganjaran sebanyak RM7,500 diikuti sebanyak lima peratus daripada jumlah keseluruhan guru di sekolah terbabit akan menerima RM1,800 manakala baki guru lain mendapat RM900.

Muhyiddin menambah pembayaran ganjaran tersebut akan dibuat serta-merta kerana peruntukan telah disediakan.

Beliau berkata tawaran sama kepada pengetua dan guru sekolah menengah akan diberikan selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan bulan depan.

Katanya, sasaran awal pemimpin sekolah yang layak menerima ganjaran pada tahun penilaian 2010 ialah sebanyak dua peratus namun pencapaian sebenar bagi tahun penilaian itu adalah di luar jangkaan antaranya disebabkan oleh peningkatan kualiti kepimpinan sekolah dan tahap pengajaran dan pembelajaran guru.

Sebanyak 924 (12.10 peratus) sekolah daripada 7,635 yang berada dalam senarai kedudukan layak untuk diverifikasi oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK).

Berdasarkan verifikasi JNJK, bilangan guru besar atau sekolah yang memenuhi semua kriteria yang ditetapkan untuk menerima ganjaran ialah sebanyak 586 (7.70 peratus) sekolah.

Katanya, daripada keseluruhan bilangan sekolah rendah yang berada dalam senarai kedudukan, 193 (2.53 peratus) adalah sekolah yang mencapai skor komposit sekurang-kurangnya 84 peratus, 138 (1.81 peratus)

sekolah yang melonjak kedudukan sekurang-kurangnya sebanyak 2,050 tempat dan 257 (3.37 peratus) adalah sekolah yang berjaya meningkatkan skor komposit sekurang-kurangnya 6.3 peratus.

“Kita juga berasa amat sukacita dan bangga kerana daripada 586 sekolah yang menerima ganjaran, 437 (74.32 peratus) daripadanya merupakan penerima dari sekolah dari luar bandar,” katanya yang menambah, sekolah di bandar juga ada

menerima anugerah tersebut.

Muhyiddin berkata dalam tawaran baru itu, kepimpinan sekolah dilihat dalam beberapa kriteria menerusi kombinasi Gred Purata Sekolah dan Skor Standard Kualiti Pendidikan Malaysia.

Antara kriteria tersebut ialah kemenjadian murid dalam akademik dan kokurikulum, kepimpinan pengetua dan guru besar dalam merancang, menyelaras, memantau dan menilai aktiviti pembelajaran dan pengajaran di sekolah.

Kepimpinan pengetua dan guru besar sebagai agen perubahan utama di sekolah, kepimpinan pengetua dan guru besar dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi menyokong proses pembelajaran dan pengajaran di dalam dan di luar bilik darjah.

“(Bagi penerima hari ini) Sekolah juga telah disahkan memperoleh laporan audit tanpa teguran dan guru besar memperoleh skor Laporan Nilaian Prestasi Tahunan lebih daripada 90 peratus serta bebas daripada tindakan tatatertib,” katanya.

Muhyiddin berkata bagi pemimpin sekolah yang berada dalam kelompok pertengahan atau tidak menepati sasaran, iaitu tidak mencapai skor komposit melepasi 84 peratus untuk sekolah rendah, tidak akan diabaikan malah akan dibantu agar pencapaiannya meningkat.

“Kementerian (Pelajaran) akan memastikan guru besar yang tidak mencapai sasaran seperti yang ditetapkan akan diberi peluang mengikuti kursus penambahbaikan berdasarkan keperluan masing-masing dan diberi bimbingan dari semasa ke semasa,” katanya.

Tiada ulasan: