Rabu, 2 Februari 2011

Korban banjir naik, jalan di Segamat dan Muar masih ditutup

BERNAMA

GEMAS — Banjir yang melanda empat daerah di Negeri Sembilan meragut nyawa seorang lelaki sebagai korban pertama yang mayatnya dijumpai di dalam parit di Gemas Baru petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Pareynthan a/l Monivasagam, 39, beralamat di No. 7, Lorong Pulasan, Kampung Kasipillai, Kuala Lumpur.

Mangsa memakai baju T dan berseluar jeans biru.

Pegawai Operasi Bomba Jaafar Yusof berkata mayat tersebut dijumpai oleh orang awam kira-kira 5.30 petang yang telah menghubungi pihak bomba.

“Mayat didapati tenggelam di dalam parit. Kita kemudian mengeluarkan mayat tersebut,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata mangsa dikenal pasti berdasarkan kad pengenalan yang dijumpai dalam dompet mangsa.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Segamat, Johor.

Dalam pada itu, laluan Segamat menghala ke Jementah dan laluan Bukit Kepong menghala ke Muar di sini masih ditutup kepada orang ramai berikutan banjir.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat berkata laluan Segamat-Jementah ditutup ekoran jambatan runtuh, manakala laluan Bukit Kepong menghala Muar dipenuhi air yang masih bertakung dan berbahaya untuk semua kenderaan.

“Bagaimanapun hampir kesemua laluan utama di Labis di sini mulai dibuka kepada orang ramai hari ini setelah cuaca semakin baik. Bagaimanapun, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Laluan menghala ke Universiti Teknologi Mara Cawangan Segamat masih dibanjiri air dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Jabatan Meteorologi hari ini meramalkan hujan dan ribut petir melanda Johor, Melaka, Pahang dan Negeri Sembilan sehingga Ahad ini.

Tiada ulasan: