Jumaat, 25 Februari 2011

Fitnah 2 : CCTV Kondominium Tumpuan Utama

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Sebuah klip video dari kamera litar tertutup kondominium Desa Damansara ditunjukkan menjadi tumpuan utama pada perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Video berkenaan menunjukkan sekumpulan orang termasuk pengadu Saiful Bukhari Azlan dan Datuk Seri Anwar tiba di Kondominium itu pada Jun 2008 .

Saiful mendakwa beliau diliwat di sebuah unit di kondominium itu, namun pasukan peguam bela bertegas Anwar tidak berada di unit berkenaan sebagaimana yang di dakwa oleh pengadu.

Pegawai Analisis Audio, Video dan Foto makmal forensik PDRM, ASP Fauziah Che Mat ditugaskan untuk menganalisis rakaman video setelah menerimanya dari pegawai penyiasat DSP Jude Periere pada 4 Julai 2008.

Menurut Fauziah, beliau diarahkan mengenalpasti beberapa buah kenderaan dan individu yang kelihatan muncul di bangunan berkenaan.

Antara perkara yang menjadi perhatian Hakim Zabidin Mohd Diah termasuk perbezaan masa antara kehadiran pemilik kereta plat berdaftar WPK 5925 yang dipercayai kepunyaan Saiful dan pemilik DAE 5 yang tidak dapat dikenalpasti.

Mahkamah kemudian diberitahu berdasarkan rakaman video bahawa pemilik kenderaan WPK 5925 iaitu Saiful hadir pada jam 2.42 petang iaitu masa yang sama pemilik DAE 5 meninggalkan kondominium.

Rakaman memaparkan Anwar membawa kenderaan bernombor daftar WMK 6 masuk ke kawasan kondominium Desa Damansara pada jam 12.13 tengahari sebelum naik ke tingkat 5 menggunakan lif.

Beliau kemudian kelihatan beredar bersama seorang individu lain pada jam 5.30 petang pada hari yang sama.

Mahkamah mencatatkan 7 jenis kenderaan bersama individu berasingan berada di kondominium itu pada sekitar jam 12 tengahari hingga 5 petang 26 Jun 2008.

Hakim Zabidin kemudian menangguhkan prosiding dan ASP Fauziah akan dipanggil semula pada Isnin minggu hadapan.

Dalam pada itu,memetik laporan portal berita Keadilandaily, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifudin turut mengesahkan kehadiran Anwar ke kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008 namun untuk menghadiri taklimat ekonomi bersama kumpulan pakar.

Tiada ulasan: