Khamis, 3 Jun 2010

SPRM nafi halang MP Kapar hadir Selcat

MEERDEKA REVIEW

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan suruhanjaya itu menghalang Anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam menghadiri inkuiri Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) berhubung kes kecurian pasir.

Selcat kini mengadakan sesi pendengaran tiga hari bermula semalam.

Semalam beliau berkata berhadapan dengan dilema sama ada boleh menghadiri sesi itu kerana bimbang implikasi perundangan selaku wakil rakyat dan juga undang-undang SPRM.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata pegawainya hanya menasihatkan Manikavasagam bahawa isi kandungan aduan yang dibuatnya kepada suruhanjaya itu tidak boleh didedahkan kepada mana-mana individu atau pihak lain kerana ia tertakluk kepada Seksyen 29 (4) Akta SPRM 2009.

Antara lain peraturan undang-undang itu menyatakan bahawa sesuatu aduan yang dibuat ke SPRM hendaklah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan sehingga orang tertuduh didakwa di mahkamah.

Suruhanjaya itu berkata sebarang aduan yang dibuat kepadanya tidak boleh didedahkan kerana ia boleh menjejaskan siasatan yang dijalankan.

SPRM berkata, Manikavasagam menghubungi suruhanjaya itu untuk mendapatkan pandangan sama ada beliau boleh atau tidak mendedahkan kandungan aduan yang telah dibuat kepada SPRM berkaitan kes kecurian pasir yang melibatkan Kuala Semesta Sdn Bhd.

“Bagaimanapun, pegawai SPRM tidak ada menyatakan halangan untuk anggota Parlimen Kapar tersebut hadir ke inkuiri Selcat pada tarikh yang telah ditetapkan,” menurut SPRM.

Tiada ulasan: