Selasa, 15 Jun 2010

Saya keluar demi kepentingan rakyat, Keshvinder Singh

MERDEKA REVIEW


Saya Keshvinder Singh A/L Kashmir Singh, ahli Dewan Undangan Negeri Perak bagi kawasan Malim Nawar dengan ini mengumumkan bahawa saya keluar dari parti DAP dan melepaskan semua jawatan dalam parti DAP dan mengistiharkan bahawa mulai hari ini, 15 Jun 2010, saya menjadi ADUN bebas.

Juga diumumkan, bagi menjaga kepentingan rakyat di kawasan saya dan bagi menjamin pembangunan yang berterusan saya membuat keputusan, memilih untuk menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan negeri Perak di bawah kepimpinan Zambry Abd Kadir.

Keputusan ini adalah merupakan pengorbanan saya kepada rakyat kawasan saya kerana saya sedar saya bakal menghadapi cemuhan dan tuduhan dari pelbagai pihak tetapi demi kepentingan, kesejahteraan dan masa depan rakyat saya memilih untuk meninggalkan parti DAP dan Pakatan Rakyat.

Keputusan yang saya buat ini juga mengambil kira pengamatan saya selama 15 bulan corak pentadbiran dan kepimpinan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Zambry Abdul Kadir dan kepimpinan kerajaan pusat di bawah Perdana Menteri, Najib Razak, saya amat tertarik serta amat meyakini corak dan cara kepimpinan kerajaan BN hari ini terutama konsep "1Malaysia" yang merupakan pendekatan realiti yang terbaik untuk rakyat Malaysia.

Saya juga sebenarnya kecewa dengan cara kepimpinan DAP dan Pakatan Rakyat negeri Perak yang terlalu banyak berpolitiking sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang saya lihat amat merugikan rakyat dan saya tidak mahu rakyat di kawasan saya turut menjadi mangsa.

Saya sebenarnya telah melihat dan yakin dengan keupayaan serta pembaharuan yang telah dibawa oleh kerajaan negeri dalam menbangunkan negeri Perak.

Saya juga sedar bahawa hanya kerajaan BN sahaja yang boleh membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada rakyat terutama kawasan seperti kawasan saya yang terletak dalam kawasan luar bandar dan saya sedar sepanjang saya menjadi ADUN, kawasan saya iaitu Dun Malim Nawar memerlukan banyak lagi pembangunan.

Dengan tindakan saya ini, saya amat mengharapkan bantuan dan kerjasama yang padu dari kerajaan yang memerintah terutama bagi membangunkan serta menyelesaikan masalah rakyat terutama masalah setinggan di kawasan saya.

Saya amat berharap pengundi-pengundi di kawasan saya dapat memahami dan menerima keputusan yang saya buat dengan hati yang terbuka dan ikhlas demi untuk kepentingan rakyat.

Keputusan ini dibuat oleh saya setelah saya berfikir sedalam-dalamnya dan mengambil kira semua penjelasan saya di atas dan ianya bukannya atas pengaruh atau tekanan oleh mana-mana pihak dan saya berharap semua pihak terutama rakyat kawasan saya dapat menerima dan menghormati keputusan saya ini kerana keputusan ini dibuat demi kebaikan rakyat.

Saya berjanji akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab saya selaku ADUN Malim Nawar dan juga berjanji akan memberi khidmat terbaik saya kepada kawasan yang saya wakili.

*Kenyataan media oleh Keshvinder Singh A/L Kashmir Singh selaku ADUN Malim Nawar, Perak yang mengumumkan keluar dari DAP-Pakatan Rakyat, hari ini.

Tiada ulasan: