Jumaat, 18 Jun 2010

Isu calon: MIC mahu syor tiga nama setiap kerusi


KUALA LUMPUR — MIC akan mengemukakan syor tiga nama sebagai setiap kerusi bakal ditandingi dalam pilihan raya umum ke-13 — dipercayai bagi mengelakkan isu pemilihan calon yang dialami di Hulu Selangor April lalu.

Dengan itu tradisi Presiden MIC menentukan calon tunggal bagi setiap kerusi akan berubah selepas ini.

Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu memaklumkan perkara ini pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti di sini hari ini.

“Presiden memaklumkan bahawa tiga nama akan disyorkan (kepada pucuk kepimpinan Barisan Nasional) mulai sekarang,” kata seorang anggota CWC kepada The Malaysian Insider.

Sumber itu menambah Samy Vellu tidak memberikan sebarang alasan tetapi perkembangan ini dikaitkan dengan “konflik” dihadapi antara pucuk kepimpinan BN dan presiden itu dalam menentukan calon bertanding pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Selama ini pucuk kepimpinan BN akan menerima apa sahaja nama disyorkan oleh Samy Vellu — presiden MIC paling lama — bagi mewakili BN.

Di Hulu Selangor, MIC menamakan semula timbalan presidennya Datuk G. Palanivel untuk bertanding semula tetapi ia ditolak oleh Umno dan pucuk kepimpinan BN sendiri.

Ia menyebabkan hubungan dingin antara Umno dan MIC.

MIC mempunyai sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri untuk ditandingi.

BN mengadakan mesyuarat Dewan Tertinggi dengan dipengerusikan oleh Datuk Seri Najib Razak, malam kelmarin.

Dalam pada itu ketika ditemui wartawan Samy Vellu berkata MIC akan menubuhkan jawatankuasa bertindak di kesemua 147 bahagian parti tersebut bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan menjalankan dua fungsi utama iaitu mendaftar pengundi baru dan melakukan lawatan dari rumah ke rumah.

Menurut Samy Vellu MIC meletakkan sasaran untuk mendaftar 150,000 pengundi baru dalam tempoh tiga bulan ini.

MIC kini mempunyai 550,000 ahli tetapi hampir 100,000 ahli belum mendaftar sebagai pengundi.

Menurut Samy Vellu, jawatankuasa bertindak itu juga akan melaksanakan tugas-tugas kemasyarakatan di kawasan mereka tanpa mengira kaum bagi memperkuatkan lagi konsep BN sebagai sebuah parti untuk semua kaum.

Selain itu menurut Samy Vellu, setiap bahagian MIC akan mengadakan mesyuarat sebulan sekali atau lebih daripada sekali dalam sebulan, bagi melaksanakan kedua-dua fungsi tersebut.

Beliau juga berkata semua ketua bahagian akan diarah melawat setiap cawangan di bawah mereka, dan menilai prestasi ketua cawangan serta mengenal pasti cawangan-cawangan yang perlu dirombak semula.

Katanya, cawangan yang kurang atau tidak aktif akan digabungkan dengan cawangan-cawangan lain.

Samy Vellu berkata lebih ramai golongan muda akan diserapkan ke dalam cawangan dengan diberikan tugas penting.

Di setiap bahagian MIC juga akan diwujudkan zon berdasarkan kepada bilangan cawangan di mana setiap zon akan dianggotai oleh lima cawangan dan akan diketuai oleh seorang ketua cawangan, kata bekas anggota Kabinet persekutuan ini.

“Melalui cara itu pelbagai program untuk masyarakat dapat dilaksanakan secara berkumpulan dan kami yakin melalui strategi ini, MIC dapat memperkuatkan jenteranya supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi pilihan raya,” katanya.

Tiada ulasan: