Selasa, 1 Disember 2009

Tender terbuka beli kapal pelbagai guna

BERITA HARIAN ONLINE


PEMBELIAN kapal pelbagai guna (Multihul Support Ship) akan dibuat menerusi tender terbuka membabitkan pembekal dari beberapa negara termasuk dari Korea Selatan, Perancis dan Jerman.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata pada dasarnya, hanya sebuah kapal akan dibina di limbungan negara yang berjaya mendapat tender kelak, manakala dua lagi akan dibina di limbungan dalam negara.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Kapal Diraja (KD) Lekiu di Awana Porto Malai, di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata segmen maritim pada Lima 09 kali ini disertai 99 kapal dari dalam dan luar negara.

“Jumlah itu mencatat sejarah tersendiri kerana ia bersamaan 99 pulau dalam gugusan kepulauan Langkawi yang menjadi tuan rumah pameran edisi ke-10 ini selepas kali pertama diperkenalkan pada 1991.

“Masa sama, seramai 13 panglima angkatan tentera laut dari luar negara berkampung di Langkawi bagi menyaksikan Lima 2009 yang juga menandakan acara ini terus mendapat perhatian dunia,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di Awana Porto Malai mendapati kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman yang bakal menjadi tarikan utama pada Lima kali ini sudah tiba dan berlabuh di dermaga.

Tiada ulasan: