Sabtu, 26 Disember 2009

KM Banggi Kapal Pemantau Atau Pusat Pelacuran?

Oleh: HAFIZ JAMAIL (sabahkini)
( Analisis )


WALAUPUN diselubungi dengan masalah kerendahan moral dan ketirisan kecekapan anggota, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang difaraidkan Kapal Perang Dunia Kedua masih mahu menunjukkan ‘taring tumpul’ dengan membawa wartawan Sabah ‘belayar sambil menunjukkan aksi’ kehebatan mereka sebagai Penanda Aras Penguasaan global Wilayah Maritim di Malaysia.

Wartawan yang dibuai keseronokan kerana berpeluang melancong dengan KM Banggi tidak menyedari ‘agenda di sebalik enigma’ APMM yang semakin karam dengan pelbagai masalah dalaman seperti rasuah dan salahgunakuasa yang menjerut imej Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah Perdana Menteri disanggah dengan kes kehilangan engine jet ketika menjadi Menteri Pertahanan.

Ketua Penguatkuasa APMM, Laksamana Pertama Kapten Mohd Taha dan Pengarah Operasi Wilayah Kapten Amir Azhua, tanpa sedar telah menyalahgunakuasa membazirkan wang awam semata-mata untuk membina hijab yang menghalang wartawan menghidu kejalangan yang mereka lakukan selama ini.

APMM yang mempunyai cita-cita menggunung tetapi dikekang anggota kurang kekompetensi kerana tidak mempunyai komitmen dan kekurangan semangat patriotik disebabkan sudah berkarat jiwa ketika berkhidmat dengan TLDM sebelum ‘dijual’ kepada APMM secara borong atau lambak.

Bagaikan membenamkan paku ke leher Pontianak, laporan Sabahkini.net membuktikan bahawa hampir semua pegawai yang tidak berdisiplin diwariskan kepada APMM menanam sikap buruk dan amalan keji yang membudayakan rasuah dan gejala songsang di dalam kapal yang menghirup wang rakyat.

Lt Madya Mohd Khair Baharom dan Bintara Muda Tadza adalah dua contoh personel berlainan pangkat dalam APMM tetapi daripada spesis yang sama kerana mempunyai ‘dua personaliti’; sebagai pegawai awam di suatu masa dan sebagai pengedar dan penagih dadah dalam masa yang sama.

Memandangkan dua personel ini telah dicekup Anti Narkotik PDRM dan demi untuk ‘cover-up’ isu yang boleh mencemar imej Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipertanggung jawab menjaga agensi penguatkuasa ini, maka APMM Sabah bukan sahaja memindahkan dua fail sulit personel ini ke Putrajaya, malah menukarkan mereka jauh daripada Sabah untuk menutup mulut dan memadam bukti yang ada pada mereka.

Bintara Muda Tadza Mustafa misalnya adalah ‘harta yang paling bernilai’ bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mereka ingin membongkar Skandal Seks, rasuah dan salahgunakuasa dalam APMM yang melibatkan hampir tiga perempat personel APMM.

Tadza tahu siapa yang terlibat melanggan ‘GRO’ dan membawa ‘Bohsia’ masuk ke dalam Kapal KM Banggi semasa penyelenggaraan yang menelan belanja RM25 juta di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar.

Tadza juga tahu kenapa Pegawai Komander KM Banggi, Vincent Rajamoney ditukar ke Putrajaya serta merta dan kenapa isteri Bintara Muda Tarmizi datang berjumpa suaminya di KM Banggi kerana Tarmizi berkahwin mengejut dengan seorang GRO yang selama ini melayan Tarmizi di atas kapal APMM berkenaan.

Ketika KM Banggi diselenggara di Kota Kinabalu, hampir kesemua personel kapal berkenaan asyik berseronok dengan pelacur atau GRO sehingga tiada pegawai yang menjaga kerja-kerja penyelenggaraan; namun Tadza adalah Kunci yang menyimpan rahsia semua kejalangan yang dilakukan oleh Pegawai APMM di atas Kapal Banggi secara tepat.

Akibatnya, seorang Pegawai kontrak APMM yang selama ini jujur seperti Tarmizi sanggup berlaku curang di belakang isteri dan terjebak dengan cinta tiga segi dan pelbagai kegiatan jenayah lain yang mencemar maruahnya.

Mungkin wartawan dan rakyat kebanyakan tidak mengetahui kos sebenar perbelanjaan KM Banggi bagi setiap pelayaran; apatah lagi ianya terlalu mahal kerana mempunyai 72 krew dan menggunakan minyak lebih RM100,000, tidak termasuk bekalan makanan RM15,000 bagi setiap pelayaran yang dilakukan dalam tempoh dua minggu sekali.

KM Banggi yang dipatenkan atau diwar-warkan sebagai kapal tercanggih APMM hanya gah pada nama, namun apabila rapat ke jeti akan bertukar menjadi Pusat Pelacuran kerana Bintara Muda Tadza Mustafa membawa pelacur untuk memuaskan nafsu anak-anak kapal; menjadi Pusat Perjudian, Pusat Arak dan Penagihan Dadah tanpa kawalan.

Menurut sumber dalaman KM Banggi, Tadza sering membawa antara sepuluh hingga dua puluh lima orang pelacur untuk memuaskan nafsu anak kapal KM Banggi secara ‘bergotong royong’ terutama yang mengalami penagihan syabu dan memerlukan wanita untuk melampiaskan gian mereka seminggu selepas mengambil syabu.

Walaupun Tadza mengalami masalah ‘Facial Paralysis’ akibat pengambilan syabu secara berlebihan, namun beliau tidak pernah diarah untuk menjalani ujian air kencing kerana menjadi saksi mata kepada segala kejalangan yang berlaku di atas Kapal KM Banggi.

Sewajarnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadikan Tadza sebagai saksi utama untuk membongkar segala Skandal Rasuah terutama penyeludupan minyak diesel melalui KM Berani dan KM Ikhlas kerana Tadza terlalu penakut walaupun bertubuh besar dan mudah memberikan bukti jika tertekan kerana gian dadah. Sebagai ‘Mat Gian’ Tadza sanggup menjual kawan untuk menyelamatkan dirinya.

“Dia dan Khair mengetahui segala-galanya dan menjadi saksi mata kepada kejalangan yang dilakukan oleh pasukan APMM, terutama kes penyeludupan minyak diesel. Pasal itu dia ditukar segera ke APMM Langkawi dan Khiar ke Kuala Perlis bagi menutup kes Syabu yang dilakukan Khair,” ujar ‘Deep Throat’ APMM di Kota Kinabalu yang bimbang kedua saksi mata ini akan dilenyapkan bagi melupuskan bukti.

Dalam pada itu, mesyuarat pegawai APMM Sabah di Kota Kinabalu baru-baru ini menemui jalan buntu untuk menyelesaikan isu yang dilaporkan Sabahkini.net kerana tidak ada pegawai yang berani mengesyorkan sesuatu. Kesemua pegawai yang menghadiri mesyuarat berkenaan melahirkan kebimbangan akan berlaku rombakan dalam APMM kerana isu dadah, pelacuran dan penyeludupan minyak diesel yang disifatkan telah mencemarkan imej APMM.

Menurut ‘Deep Throat’ APMM lagi, Pengarah Pentadbiran APMM Sabah, Nurlianeh yang sudah mendapat bayangan akan ditukarkan segera ke Semenanjung Malaysia, cuba menggunakan beberapa wartawan dan kabel yang dipercayai untuk berunding dan menyelesaikan isu ini secara saksama dengan Editor Sabahkini.net bagi membersihkan namanya kerana bimbang jika mengheret Sabahkini.net ke mahkamah akan menyerlahkan apa yang disorok selama ini.

Lebih melucukan, Pengarah APMM Sabah, telah menyalahguna kuasanya membawa wartawan belayar dengan kapal APMM untuk membuktikan kehebatan APMM yang menggunakan kapal perang dunia kedua dan dakwaan Sabahkini.net meleset.

Namun amat menghairankan kenapa wartawan tidak di bawa ke Kapal KM Berani dan KM Ikhlas yang didakwa menyeludup minyak diesel milik APMM dan hanya menggunakan KM Banggi yang sebelum ini menjadi Agen Penyeludupan Syabu dan Pusat Pelacuran?.

Sementara itu, Editor Sabahkini.net yang berbulan madu di Langkawi melaporkan beberapa kelibat anggota APMM dan Risik APMM sedang memperhatikan gerak-gerinya dan terpaksa memendekkan percutiannya setelah merasa terganggu dengan kehadiran ramai pegawai APMM yang mengambil gambar daripada jauh dan sentiasa mengekorinya.

Seorang anggota APMM yang bertubuh gempal dipercayai Tadza sedang memeriksa semua Chalet dan hotel untuk mengesan jejak Editor Sabahkini.net di Langkawi, namun gagal mengesan Editor Sabahkini.net yang dihubunginya baru-baru ini yang terpaksa bermalam di dalam bot laju sebelum berangkat ke suatu arah yang belum diketahui.

Bagaimanapun, dipercayai Editor berkenaan masih berada di Langkawi dan sedang menjalankan siasatan latar belakang Tadza dan Khair yang dipercayai berada di Kuala Lumpur kerana ingin membongkar enigma yang selama ini disimpan rapi APMM.

Wartawan Sabahkini.net akan terus membongkar Skandal APMM sehingga SPRM menjalankan siasatan rapi dan mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan sebagaimana kejayaan beberapa siri pembongkaran sebelum ini.

Tiada ulasan: