Jumaat, 25 Disember 2009

Bagaimana enjin F-5E dibawa keluar?

Oleh UMAVATHI RAMAYAH


KUALA LUMPUR - Siasatan polis berhubung kes kehilangan dua enjin pesawat pemintas F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini tertumpu kepada bagaimana ia dibawa keluar merentasi sempadan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya dalam proses mengumpul dokumen-dokumen penting bagi menyiasat perkara tersebut.

"Peguam Negara (Tan Sri Abdul Gani Patail) yang minta kita membuat siasatan ini (bagaimana enjin itu boleh ke luar negara). Jadi kita dalam proses untuk mendapatkan dokumen-dokumen penting," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sambutan Hari Ulang Tahun Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) yang ke-54 di Pangkalan PSP di sini hari ini.

Semalam, Abdul Gani menyifatkan kes kehilangan dua enjin jet F-5E itu sebagai "perkara serius", dan memberi jaminan pejabat beliau akan berusaha habis-habisan bagi menyelesaikan kes tersebut.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris pula hari ini mendedahkan salah sebuah enjin jet pesawat supersonik yang dicuri dua tahun lalu itu ditemui di Argentina.

Menurut laporan itu, enjin turbo jet General Electric J85-21A tersebut untuk kegunaan pesawat F-5E Tiger 11 satu tempat duduk dan RF-5E Tigereye telah dibawa keluar menerusi Pelabuhan Klang ke sebuah negara ketiga sebelum ia tiba ke destinasi akhir iaitu di Argentina.

Laporan itu juga menyebut beberapa pegawai kanan TUDM termasuk berpangkat Jeneral dijangka disoal siasat polis.

Musa bagaimanapun tidak menolak kemungkinan akan menahan serta memanggil beberapa lagi individu untuk merekodkan keterangan berhubung siasatan itu.

"Mereka yang dirasakan perlu, kita akan panggil untuk merekod keterangan," ujarnya.

Sebelum ini, polis menahan empat individu termasuk tiga pegawai rendah TUDM. Kesemua mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan.

Tiada ulasan: