Selasa, 1 Disember 2009

Restoran 24 jam meletup

Oleh Mohd Zin Ali


JOHOR BAHRU: Sebuah restoran 24 jam yang akan dibuka Jumaat ini kerugian RM200,000 apabila sebahagian premis dan peralatannya musnah dalam letupan dipercayai bom di Jalan Pandan 1 di Taman Impian Stulang, Stulang Laut, di sini, awal pagi semalam.

Letupan itu menyebabkan cawangan ke-10 Restoran Osman di bandar raya ini musnah pada jam 2.20 pagi.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata pihaknya menerima laporan orang ramai jam 4.30 pagi yang mendakwa terdengar letupan di sebuah premis yang masih dalam proses diubahsuai.

Beliau berkata, pihaknya percaya perbuatan itu dilakukan antara jam 2.20 pagi hingga 3.30 pagi dengan unit forensik dan Jabatan Kimia mengesahkan kemusnahan disebabkan bahan letupan.

"Setakat ini, siasatan unit forensik belum dapat mengenal pasti jenis bahan letupan digunakan manakala jumlah kerugian masih disiasat.

"Kami belum dapat mengenal pasti motif serangan dan sedang mengkaji semua aspek termasuk kemungkinan saingan perniagaan.

"Saya berharap orang ramai tidak panik dengan kejadian berkenaan kerana ia tiada kaitan dengan unsur keganasan," katanya yang dapat mengenal pasti mereka terbabit serta percaya dapat menahan beberapa suspek dalam masa terdekat.

Pengurus restoran yang hanya mahu dikenali sebagai George, berkata kejadian itu turut memusnahkan pelbagai persiapan dilakukan pihaknya selain terpaksa menanggung kerugian hampir RM200,000.

Beliau berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu jam 2.20 pagi apabila dihubungi sekumpulan pekerja restoran menyewa di pangsapuri berhampiran premis itu.

"Kami difahamkan kejadian itu disedari beberapa penduduk pangsapuri apabila terdengar bunyi letupan luar biasa dari arah restoran berkenaan,” katanya.

Tiada ulasan: