Sabtu, 26 Disember 2009

Raja Perlis dukacita negeri dilabel amal Wahabi

BERNAMA


KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dukacita dengan tindakan pihak tertentu yang melabelkan Perlis sebagai negeri yang mengamalkan fahaman Wahabi.

Tuduhan itu dikatakan sering dilemparkan termasuk melalui media massa dengan alasan Perlis tidak mengamalkan doa qunut semasa solat Subuh dan tidak berdoa beramai-ramai selepas solat untuk menidakkan amalan Sunnah yang diamalkan di negara ini.

"Sebagai Raja Perlis, saya amat dukacita dengan apa yang berlaku. Tak baiklah buat kenyataan dalam akhbar atau TV. Lebih wajar dibawa muzakarah. Kalau apa yang dibuat di Perlis tak ikut syarak, tunjuk nas-nas lengkap, Perlis sedia mengubah (dari apa yang diamalkan sekarang)," titah baginda.

Raja Perlis bertitah demikian pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Dewan 2020 di sini, semalam. Turut berangkat Raja Perempuan, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Anugerah Tokoh Maal Hijrah diberikan kepada Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Prof Madya Datuk Syed Omar Al-Saggaf, 66.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan isteri, Datin Seri Asiah Asmuni.

"Jika tidak ada nas-nas kukuh yang boleh menguatkan hujah mereka mengatakan apa yang diamalkan di Perlis tidak betul, janganlah ‘buat bising’ sangat. Kalau tak mahu ikut Perlis, senyap sudahlah. Nanti kata pula, Perlis Darul Wahabi," titah baginda.

Baginda bertitah, pihak terbabit harus faham bahawa Perlis tidak terikat kepada mana-mana mazhab sebaliknya menerima semua mazhab.

“Kalau ada sesiapa yang tidak puas hati tentang apa yang diamalkan di Perlis, boleh tulis surat kepada Jabatan Mufti Negeri, Majlis Agama Islam Negeri dan Majlis Fatwa Negeri untuk berbincang.

“Kalau perlu bahas kita bahas untuk mencari kebenaran. Hentikanlah tuduhan yang tidak sepatutnya kepada Perlis," titah baginda.

Tiada ulasan: