Ahad, 27 Disember 2009

Nama ahli CC MCA letak jawatan tidak didedah: Setiausaha Agung MCA

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Meng, enggan mendedahkan senarai nama ahli Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu yang sudah atau tidak menghantar surat peletakan jawatan selepas tarikh akhir mereka berbuat demikian, hari ini.

Dalam satu kenyataan, Wong berkata, beliau enggan berbuat demikian kerana tidak mahu menimbulkan kekeliruan dalam usaha parti itu untuk menyelesaikan krisisnya.

"Sebaliknya, urusetia ibu pejabat MCA atau saya sendiri akan memaklumkan kepada Jawatankuasa Khas Pemilihan Semula Parti yang dipengerusikan Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek," katanya.

Pada 15 Disember lalu, Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan 12 pemimpin parti sudah menghantar surat meletak jawatan sebagai ahli CC yang tidak bertarikh kepada Wong.

Sekurang-kurangnya, 21 daripada 30 ahli CC perlu meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan semula parti diadakan.

Antara yang sudah menghantar surat bersama Liow ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wee Jeck Seng; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chung, ahli veteran CC, Datuk Wong Mook Leong dan Naib Presiden, Tan Kok Hong.

Beberapa ahli biasa CC turut menghantar surat tanpa tarikh iaitu Lee Wei Kiat, Datuk Yu Chok Tow, Wong Nai Chee, Senator Datuk Yeow Chai Thiam, Datuk Hoh Khai Mun, Datuk Liew Yuen Keong, Datuk Edward Khoo Keok Hai dan Senator Datuk Alex Wong Siong Hwee.

Wong berkata, jawatankuasa khas itu akan mengadakan mesyuarat secepat mungkin dan membuat keputusan tentang sebarang langkah seterusnya yang boleh diambil untuk menyelesaikan perbezaan pendapat yang ada.

Tiada ulasan: