Khamis, 24 Disember 2009

TM sedia kaji semula caj internet

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia (TM) menerima baik cadangan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum untuk mengkaji semula kadar perkhidmatan internet supaya lebih murah berbanding sekarang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Zamzamzairani Mohd Isa, berkata pembekal perkhidmatan internet lain di negara ini harus bersedia untuk bekerjasama dengan pihak (SKMM) yang bertindak sebagai peneraju dalam penyediaan kertas kerja berkenaan.

Beliau berkata, cadangan itu harus dipandang secara positif dan perspektif yang menyeluruh untuk kebaikan industri jalur lebar di negara ini dan dengan adanya kertas kerja itu, kos sebenar yang kerap diperkatakan dapat diutarakan dengan lebih jelasdan berkesan.

"Dengan adanya elemen kos itu, TM berpendapat kerajaan dan industri dapat bekerjasama menyediakan jalan penyelesaian menyeluruh supaya kos yang ditampung industri, termasuk TM dapat dikurangkan sekali gus memberi kadar lebih murah kepada pengguna," katanya pada Berita Harian, semalam.

Zamzamzairani berkata, setakat ini perkhidmatan Internet Malaysia masih rendah berbanding Thailand dan Singapura.

Beliau berkata, sebagai contoh, pakej internet permulaan pada kelajuan 512 kilobait sesaat (kbps) yang dibekalkan penyedia perkhidmatan di Malaysia adalah RM66, manakala di Thailand adalah RM71 dan untuk pakej berkelajuan 3 megabait sesaat (mbps) di Singapura adalah RM82.

“Kadar bulanan untuk perkhidmatan jalur lebar berkelajuan 1 mbps pula adalah RM88 bagi Malaysia, RM102 di Thailand dan untuk 6 Mbps di Singapura pula adalah RM102,” katanya.

Beliau berkata, TM sentiasa memastikan infrastrukturnya dinaik taraf dari semasa ke semasa untuk membolehkan pengguna menikmati perkhidmatan internet yang lancar.

Tiada ulasan: