Abdul Rahim Sabri
(kemaskini 5.59pm)
Gerakan pelajar Universiti Malaya untuk meningkatkan bantahan mereka terhadap sistem pengundian berkomputer (e-undi), dijangka pertengahan bulan depan, kelihatan menemui jalan buntu.
Forum anjuran kumpulan pelajar tersebut, yang diketuai oleh exco Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM) Mohd Aizat Mohd Salleh, diarah dibatalkan pada saat-saat akhir.
Bagaimanapun mereka akan terus menganjurkan forum tersebut pada waktu, tarikh dan lokasi yang telah dijadualkan 8.30 malam 1 Januari ini di dewan kuliah Akademi Pengajian Islam (API).
"Setakat ini kita akan teruskan, hatta buat di atas jalan raya (di luar dewan kuliah)," kata Mohd Aizat kepada Malaysiakini petang ini.
Keputusan meneruskan forum 'E-Undi dan Masa Depan Demokrasi Kampus' dibuat selepas beliau bertemu dengan pegawai kanan Akademi Pengajian Islam (API) Dr Ruzman Mohd Noor selama sejam bermula 2.30 petang tadi.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran pertemuan tersebut.
Difahamkan pentadbiran universiti itu campur tangan pagi ini dalam keputusan API yang telah meluluskan penganjuran forum semalam.
Pensyarah terkenal Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Abdul Aziz Bari, wakil rakyat PKR Chang Lih Kang dan exco Persatuan Mahasiswa Islam UM Mohd Shafie Hashim dijadual membahaskan kontroversi tersebut di forum itu.
Majlis yang dianjurkan oleh Gabungan Mahasiswa Bantah E-Undi (BANTAH) dengan kerjasama MPMUM itu dilaporkan turut menerima ugutan dalam bentuk surat layang dan mesej SMS.
Dua penyelaras BANTAH didesak membatalkan forum tersebut atau "sesuatu" akan berlaku.
Mengulas lanjut masalah yang dihadapinya, Mohd Aizat berkata forum itu diteruskan kerana persiapan telah dibuat dan "pelajar akan terlepas jika ia dibatalkan."
Beliau menjangkakan sekurang-kurangnya 200 hingga 300 pelajar akan menyertai forum.
"Mahasiswa hendak tahu isu ini. Tempat bukan masalah bagi kita. Kita akan terus jalankan forum ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan