Isnin, 28 Disember 2009

Siasat penyelewengan RM160 juta di GLC

BERNAMA


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini diminta menyiasat mengenai dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam anak syarikat sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membabitkan kira-kira RM160 juta.

Setiausaha agung Kelab Belia Graduan 1Malaysia, Ezaruddin Abd Rahman berkata kelab itu menerima maklumat bahawa penyelewengan yang dilakukan dalam anak syarikat GLC yang berusia lebih 50 tahun itu dikesan sejak 2006.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum mengenai dakwaan penyelewengan itu kepada penolong kanan penguasa SPRM Azlin Mohd Ali di pejabat SPRM di Putrajaya untuk siasatan.

Memorandum itu antara lain mendakwa pemberian tender yang tidak mengikut prosedur dan syarikat yang diberikan tender tersebut merupakan syarikat di mana seorang daripada anggota lembaga pengarah GLC itu mempunyai kepentingan di dalamnya.

Memorandum itu turut mendakwa mesin yang dibekalkan oleh syarikat tersebut juga menimbulkan masalah dan kerugian.

Ezaruddin berkata pihaknya juga akan menyerahkan memorandum itu kepada Pejabat Perdana Menteri.

Kelab Belia Graduan 1Malaysia merupakan NGO yang terdiri daripada golongan profesional muda pelbagai bidang di seluruh negara yang ditubuhkan pada 10 November lepas dan kini mempunyai 8,000 anggota.

Tiada ulasan: