Khamis, 24 Disember 2009

Cadangan anjak sesi persekolahan 2010 tidak sesuai

BERITA HARIAN ONLINE


PASIR PUTEH: Kementerian Pelajaran menyifatkan cadangan supaya permulaan sesi persekolahan dianjak ke pertengahan Januari sebagai tidak sesuai kerana sukar dilaksanakan ekoran mengganggu jadual pembelajaran yang sudah diatur.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata jika cadangan itu dilaksanakan, banyak implikasi dari segi masa iaitu menyempurnakan pengajaran dan pembelajaran yang sudah dirancang di peringkat sekolah.

“Bagaimanapun, jika anjakan ini bagi mengelak jurang terlalu besar kepada lulusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) sebelum ke institusi pengajian tinggi (IPT), maka wajar untuk dibincangkan,” katanya.

Semalam, Berita Harian melaporkan, Kementerian Pengajian Tinggi akan mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran supaya menganjakkan permulaan sesi persekolahan tahunan ke pertengahan Januari berbanding awal bulan ketika ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi, berkata cadangan itu bagi mengelak lulusan SPM dan STPM menghadapi tempoh senggang terlalu lama sebelum memasuki IPT.

Katanya, ini berikutan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk merombak kalendar akademik IPT supaya seragam dengan sesi pengajian universiti pada peringkat antarabangsa.

Mohd Fuad berkata, kementerian berhasrat menyusun semula jadual sesi persekolahan tahunan bagi memastikan peperiksaan SPM dan STPM tidak berlangsung pada musim banjir seperti ketika ini.

Katanya, Bahagian Pengurusan Kementerian Pelajaran dipertanggungjawabkan membuat kajian bagi memastikan pelaksanaannya tidak mengganggu pengajaran dan pembelajaran di sekolah yang sudah dirancang.

“Jadual persekolahan perlu disusun semula supaya mengelak peperiksaan dibuat pada bulan banjir,” katanya selepas majlis Anugerah Gemilang 2009 Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok di sini, semalam.

Tiada ulasan: