Ahad, 27 Disember 2009

10 budak hitam: Boikot..senyap...serang

Oleh Safar Jumaat


PERSIDANGAN DUN Terengganu baru-baru ini menjadi medan ‘10 Budak Hitam’ yang khabarnya sudah tinggal empat sahaja menyerang Menteri Besar (MB), Datuk Ahmad Said, sekaligus mengesahkan kata-kata Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa kemelut politik Umno Terengganu sudah selesai, sebagai tidak betul.

Mereka masih belum puas hati dengan kedudukan Ahmad sebagai Menteri Besar masih kekal walaupun pelbagai usaha menjatuhkannya dijalankan, termasuk menggugat kedudukannya sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu.

Mula-mula, mereka memboikot persidangan DUN. Alasan yang digunakan ketika memboikot persidangan itu, mereka menerima SMS bernada ugutan yang boleh mengancam keselamatan nyawa. Tindakan memboikot itu selesai dengan campurtangan Perdana Menteri (PM) yang mengarahkan kesemua ‘10 Budak Hitam’ mesti menghadiri persidangan.

Lebih menarik, Menteri Besar ketika ditanya wartawan adakah beliau akan memujuk ’10 Budak Hitam’ ini supaya menghadiri persidangan DUN, dengan bersahaja menjawab, “tidak sama sekali.”

10 Budak Hitam merasakan mereka sudah berjaya dalam usahanya ‘menjatuhkan’ Ahmad apabila jawatan Ahmad sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri terlucut. Besorak-sorai mereka ini dengan perkembangan itu dan mengharapkan jawatan Menteri Besar juga akan terlucut.

Gerakan mereka ini akhirnya menyebabkan Hishammuddin menjemput semua ketua-ketua bahagian dan semua ADUN-ADUN BN mengadakan pertemuan dengannya dalam dua sessi di Pejabat Menteri Dalam Negeri.

Khabarnya, salah seorang anggota ‘10 Budak Hitam’ mencaci kepimpinan Ahmad di depan Hishammuddin yang didengari sendiri Ahmad dan Datuk Seri Idris Jusoh. Menurut sumber, Ahmad tidak sedikit pun menjawab untuk mempertahankan dirinya sebaliknya mendengar dengan penuh sabar cacian dari salah seorang orang kuat ‘10 Budak Hitam’ ini.

Mereka melakukan semua ini dengan harapan Hishammuddin akan melantik pegawai-pegawai Badan Perhubungan Umno Negeri dari kalangan ‘10 Budak Hitam’ kerana mereka tahu hubungan Hishammuddin dengan Idris dikatakan cukup intim – namun apa yang mereka mahukan tidak terjadi.

Pusingan kedua, 10 Budak Hitam menghadiri persidangan DUN tetapi kesemuanya ‘menjahit mulut’ tanda memprotes. Ahmad ketika memberi komen tentang sikap berdiam diri 10 Budak Hitam ini dengan kata-kata, “sudah ada perubahan terhadap mereka ini. Dulu mereka tak datang langsung, sekarang mereka dah datang,”

Dengan lain perkataan, strategi yang diatur 10 Budak Hitam nampaknya tidak menjadi. Apa sahaja mereka buat, Ahmad menganggapnya sebagai positif. Maknanya, Ahmad tidak terganggu dengan karenah 10 Budak Hitam. Ini yang menyebabkan 10 Budak Hitam terpaksa merubah strategi dengan menghadiri persidangan dan bercakap.

Kali ini mereka bukan sekadar bercakap, malahan menggunakan ‘ledakan bom’ – meminjam kata-kata Ahmad (Harakah muka surat N8, Bil 1499 – 25-27 Disember 2009 bertajuk Sidang Dun Terengganu kembali ‘panas’ ADUN BN ‘serang’ MB Terengganu) ketika menjawab serangan dari ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah dan ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam dalam persidangan baru-baru ini.

Paling ketara, sebelum ini sudah kedengaran ‘10 Budak Hitam’ mengadakan pertemuan dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi usaha mereka untuk melompat tidak mendapat sambutan.

Tidak pula diketahui apakah ada ‘amaran secara senyap’ dari Kuala Lumpur terhadap ‘10 Budak Hitam’ ini kerana selepas mereka mengeluarkan kenyataan mahu melompat parti, seolah-olah ‘lompatan’ mereka tidak melepasi palang yang diletakkan di hadapan mereka.

Apakah strategi 10 Budak Hitam ini akan bertukar lagi selepas ini apabila mereka kemudiannya dilibas oleh Ahmad ketika menjawab serangan dan ledakan bom ini? Atau, mereka akan menggunakan strategi senyap dengan menjadikan Kuala Lumpur tempat mereka memburuk-burukan kepimpinan Ahmad?

Dari mereka yang rapat dengan Ahmad mendakwa, dari 10 ADUN yang menentang Ahmad ini, sudah enam ADUN kembali bersama-sama Ahmad dan tidak mahu lagi terlibat dengan ‘10 Budak Hitam’ yang berketuakan Idris Jusoh.

Tidak hairanlah jika hanya Alias dan Din sahaja yang kelihatan beria-ia sangat bercakap dalam persidangan DUN kali ini, itu pun selepas Din dikatakan diberikan jawatan di Kuala Lumpur oleh Hishammuddin, sebagai ‘upah bertukar haluan’ dari tidak menyokong Ahmad kepada menyokong Ahmad.

Sambil bergurau, seorang penganalisis politik di Kuala Lumpur membuat komen, kononnya keberanian Din itu sebagai ‘persembahannya’ di hadapan Idris yang turut memerhatikan gelagat 10 Budak Hitam. Siapakah yang masih ‘lulus ujian’ dan siapakah yang sudah meninggalkan Idris kerana ‘kembali ke pangkal jalan’.

Din mungkin mahu terus ‘hidup di depan Idris, terus hidup di depan Hishammuddin’ dan tidak apalah jika terpaksa ‘menjadi cacing kepanasan’ bila berdepan dengan Ahmad. Maklumlah, Din mungkin merasakan dia lebih layak menjadi Menteri Besar Terengganu daripada Ahmad kerana di bawah pentadbiran Idris, Ahmad dan Din adalah Exco Idris.

Din lupa, Ahmad adalah orang lama dalam Umno/BN Terengganu yang menyebabkan Ahmad pernah mengeluarkan kenyataan, beliau adalah yang paling senior di kalangan ADUN-ADUN Terengganu yang ada sekarang, termasuk Idris.

Namun kenyataan Ahmad yang mengatakan beliau paling senior tidak dihiraukan Idris dan ‘10 Budak Hitam’ kerana mereka memang tidak dapat menerima Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu kononnya kerana Ahmad bukan dipilih atas kehendak pucuk pimpinan parti sebaliknya Ahmad hanya dikehendaki Istana Terengganu.

Itulah sebabnya, ada ADUN BN Terengganu yang sanggup mengoncang pagar istana kerana mahu menunjukkan protes kepada pihak istana, bahawa mereka tidak bersetuju dengan kehendak istana tetapi mahu Idris atau Datuk Rosol Wahid atau Din atau Alias atau, si anu-si anu boleh jadi MB Terengganu, asalkan bukan Ahmad.

Tiada ulasan: