Khamis, 24 Disember 2009

16 projek sekolah baru gagal siap

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB


PASIR PUTEH - Kementerian Pelajaran kesal apabila 16 projek sekolah baru termasuk dua sekolah rendah di negeri ini gagal disiapkan kontraktor mengikut jadual.

Timbalan menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sekolah-sekolah baru itu sepatutnya dibuka pada sesi bermula 3 Januari ini tetapi terpaksa ditangguhkan.

Menurutnya, kebanyakannya dibina bagi mengatasi kesesakan pelajar di beberapa sekolah yang menampung 35 sehingga 40 orang setiap kelas.

Katanya, perkembangan itu menyebabkan pelajar yang sepatutnya berpindah ke sekolah baru terbabit terpaksa belajar dalam suasana kurang selesa di sekolah lama.

"Kementerian dukacita dengan kegagalan kontraktor terlibat menyiapkan projek pembinaan sekolah baru itu mengikut jadual," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Anugerah Cemerlang Pejabat Pelajaran Daerah Bachok 2009 di Sweet Beach Resort, Tok Bali di sini hari ini.

Mohd. Puad berkata, beliau difahamkan masalah kegagalan kontraktor menyiapkan sekolah mengikut jadual juga berlaku di negeri lain.

Menurut beliau, pihaknya akan menyenarai hitam kontraktor terlibat sebagai pengajaran agar memastikan tanggungjawab mereka dilaksanakan mengikut ketetapan.

"Kontraktor terlibat selepas ini tidak lagi berpeluang melaksanakan projek di bawah kementerian," tegasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Puad berkata, persiapan menjelang sesi baru persekolahan telah dilakukan termasuk memastikan bekalan buku teks dan peralatan mencukupi di semua sekolah di seluruh negara.

Malah, katanya, kementerian juga melantik Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) dan guru kontrak bagi mengisi kekurangan guru di beberapa sekolah yang dikenal pasti.

"Saya percaya sesi baru nanti berjalan lancar dan setiap pelajar mendapat bekalan buku teks dan kemudahan lain dengan secukupnya," ujarnya.

Tiada ulasan: