Oleh Mohamed Farid Noh
KUALA LUMPUR: Selepas 10 tahun menanti, penyanyi Aishah semalam akhirnya menang dalam kes samannya terhadap syarikat EMI (Malaysia) Sdn Bhd berikutan syarikat rakaman itu mengingkari syarat perjanjian pembayaran royalti, promosi dan penerbitan album.
Hakim Datuk Tee Ah Sing memerintahkan syarikat berkenaan membayar Aishah, atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Arifin, 44, ganti rugi am, yang jumlahnya akan ditentukan mahkamah kemudian, serta ganti rugi nominal sebanyak RM100.
Penghakiman bertulis itu dibacakan Timbalan Pendaftar Hilmiah Yusof dalam kamarnya pagi semalam di hadapan peguam Aishah, Hasnal Rezua Merican serta peguam yang mewakili EMI, Soo Siew Mei.
Hasnal ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya akan memfailkan notis taksiran ganti rugi am tidak lama lagi bagi membolehkan mahkamah menentukan jumlah ganti rugi yang berhak diterima Aishah.
“Tuntutan balas EMI selaku defendan bagi mendapatkan ganti rugi sebanyak RM93,071 daripada Aishah turut ditolak dengan kos oleh mahkamah.
“Bagaimanapun tuntutan ganti rugi khas berjumlah RM406,000 yang dikemukakan Aishah ditolak mahkamah berikutan anak guam saya gagal mengemukakan bukti terhadap tuntutan berkenaan,” katanya.
Aishah mengemukakan saman berjumlah RM406,000 terhadap EMI pada 6 Disember 1999 kerana mendakwa syarikat rakaman berkenaan mengingkari syarat perjanjian pembayaran royalti, promosi dan penerbitan album.
Aishah yang terkenal dengan lagu seperti Janji Manismu dan Syurga Di Telapak Kaki Ibu, ketika ditemui berkata, pengorbanannya selama 10 tahun akhirnya terbalas dengan keputusan mahkamah yang menyebelahinya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan