SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM – Pas Kelantan tidak akan kecundang jika mereka memberi keutamaan kepada anak tempatan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Penganalisis politik, Asri Salleh berkata, istilah ‘kecundang’ tidak ada dalam diari Pas Kelantan.
"Pengundi negeri itu akan tetap memilih calon Pas, tidak kira mereka anak tempatan atau orang luar," katanya, semalam.
“Politik Pas Kelantan sangat berbeza dengan politik Pas di negeri lain. Rakyat Kelantan terlalu taksub dengan parti itu dan Mursyidul Am Pas (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat).
“Mereka tidak kisah sama ada calon itu berasal dari Kelantan atau tidak. Paling penting, mereka bertanding atas nama Pas dan mampu menggalas tugas yang diamanahkan sebaik mungkin,” katanya yang juga pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, kampus Dungun, Terengganu.
Beliau mengulas mengenai cadangan Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Mohamad Daud supaya anak Kelantan diberi keutamaan menjadi calon di negeri itu pada PRU-13.
Berikutan itu, Nik Aziz berkata Pas Kelantan akan menimbangkan perkara itu.
Pada pilihan raya umum lalu, Kelantan membuka ruang kepada pemimpin Pas dari luar Kelantan untuk menjadi calon Parlimen di negeri itu.
Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa (Bachok) dan Bendahari Pas Pusat Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), di samping Saifuddin Nasution (Machang) yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga orang luar Kelantan.
“Yang menjadi persoalan, apakah Pas Pusat berani melaksanakan cadangan itu, memandangkan calon import adalah nama-nama besar dan berpengaruh?" katanya.
Beliau tidak pasti Pas Pusat akan menerima cadangan mengutamakan anak Kelantan menjadi calon di negeri itu. Ada kemungkinan ditolak.
“Pas Pusat pernah menolak cadangan Nik Aziz supaya mesyuarat agung luar biasa diadakan untuk menimbang kedudukan beberapa pemimpin Pas yang disifatkan bermasalah dan yang pro-UMNO," katanya.
Ditanya sama ada isu keutamaan kepada calon tempatan ini boleh menimbulkan masalah dan memerlukan campur tangan parti komponen Pakatan Rakyat lain, iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, Asri berkata, perkara itu bergantung kepada tindakan pemimpin masing-masing.
“Pandangan saya cukup mudah. Bagi menyelesaikan isu calon ini dan memperkuatkan kerjasama antara mereka, PKR dan DAP perlu campur tangan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan