Isnin, 14 Disember 2009

Laporan akan dibentang kepada rakyat

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan membentangkan laporan pencapaian enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) oleh kementerian berkaitan kepada masyarakat umum pada Khamis dan Jumaat ini.

Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, semua kelompok masyarakat digalakkan untuk memberi maklum balas sama ada dalam bentuk cadangan, ulasan atau pandangan kerana kerajaan mahukan berlakunya proses interaksi.

"Program ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Sunway di sini iaitu Khamis, enam menteri peneraju akan bentangkan kepada wakil masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Pada Jumaat pula kita akan buka kepada seluruh masyarakat umum dan mereka boleh hadir memberi maklum balas kepada usaha-usaha yang dilakukan kerajaan ke arah mencapai enam NKRA ini," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Program Transformasi Kerajaan di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau berharap seluruh rakyat dapat menggunakan kesempatan itu untuk mengetahui secara mendalam pendekatan yang digunakan kerajaan dalam mencapai NKRA.

Malah, kata berliau, daripada proses itu juga rakyat boleh mengetahui sasaran yang ditetapkan serta komitmen kerajaan ke arah mencapai matlamat ditetapkan.

"Ini juga menunjukkan kerajaan sangat telus dan amat komited serta bersungguh-sungguh untuk mencapai semua yang telah ditetapkan di bawah pencapaian NKRA ini," jelasnya.

Ditanya sama ada kerajaan bersedia untuk menimbang semula sesuatu inisiatif atau program sekiranya mendapat bantahan rakyat, Najib berkata, dalam hal ini apa yang akan diambil kira adalah suara ramai.

Katanya, kerajaan sanggup untuk berbuat demikian jika terdapat bantahan tetapi pada masa sama harus disedari tidak mungkin 100 peratus rakyat boleh bersetuju dengan program yang hendak dilaksanakan.

"Kalau ada satu tak setuju bukan bererti program itu tak baik. Mungkin daripada 100, 98 setuju dan ada dua tak setuju. Mustahil kita boleh dapat 100 peratus orang yang sokong.

"Jadi, jangan anggap kalau ada pandangan kontra tak bererti yang program itu perlu ditolak atau dikaji semula melainkan inisiatif itu tidak disukai oleh sebahagian besar rakyat," katanya.

Menjawab soalan sama ada kerajaan akan mengkaji untuk menambah NKRA berbanding enam sekarang, Perdana Menteri berkata;

"Tidak, kita tumpu pada yang enam ini, yang lain itu kita anggap sebahagian daripada agenda kerajaan juga."

Tiada ulasan: