SABAH DAILY
Adakah jenayah rasuah boleh dihapuskan? Ya. Tetapi mengapa ia tidak dapat dihapuskan? Rasuah ialah jenayah berasaskan peluang. Selagi ada peluang, selama itulah ada orang yang mengambil peluang melakukan jenayah rasuah.
Umumnya, rakyat menolak jenayah rasuah. Bagaimanapun, tumpuannya sekarang ialah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kita beranggapan seolah-olah SPRM mempunyai lampu ajaib untuk membanteras jenayah rasuah. Kita menganggap dengan mendakwa semua perasuah pada kesudahannya, jenayah ini akhirnya berakhir.
Memang SPRM sebagai sebuah suruhanjaya mempunyai tanggungjawab besar. Atas alasan itulah agaknya, masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada SPRM dan ia tidak salah. Sering kali, SPRM dilihat sebagai gagal memenuhi harapan ini dan menjadi sasaran kritikan rakyat.
Untuk bersikap adil, SPRM baru berusia setahun jagung. Setahun bukanlah tempoh yang terlalu panjang. Ia masih lagi dalam proses menyesuaikan diri selepas perubahan peranan daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada entiti yang ada sekarang.
Pun begitu, SPRM hendaklah menerima kritikan berkenaan secara positif dengan melakukan penambahbaikan berterusan dan tidak menyapu semua isu yang dibangkitkan ke bawah permaidani.
Sebahagian kritikan terhadap SPRM ada asasnya. Usaha penambahbaikan harus diteruskan, khususnya peningkatan tahap profesionalisme dan kepakaran kakitangannya.
Dalam mengkritik, berikan tumpuan kepada kes tertentu secara spesifik. Serangan terhadap SPRM sebagai sebuah badan penguat kuasa boleh menjejaskan kemampuan suruhanjaya itu untuk memainkan peranan dengan efektif.
Ketika SPRM mempunyai peranan tersendiri dalam soal ini, pihak lain juga mempunyai fungsi dalam membanteras jenayah rasuah. Ambil contoh jenayah rasuah politik. Sering kali masyarakat mempersoalkan kenapa SPRM tidak bertindak. Ya, SPRM patut bertindak tegas dalam hal ini tanpa memilih bulu, bilis atau jerung.
Bagaimanapun, ahli parti politik dan rakyat juga perlu memainkan peranan dengan menolak pemimpin rasuah. Dengan cara itu, pemimpin berkenaan tidak lagi berada pada kedudukan yang memberikan mereka kuasa dan sekali gus peluang untuk terus melakukan jenayah itu. Andainya ahli parti tidak berbuat demikian, rakyat sebagai pengundi hendaklah menyampaikan mesej yang jelas bahawa mereka menolak pemimpin rasuah.
Inilah peranan yang boleh dimainkan rakyat. Sekiranya semua rakyat melaksanakan tugas ini dengan berkesan, maka semua parti politik (tanpa mengira apa jenama sekalipun) akan menentukan pemimpinnya bersih.
Sebelum ini, ada garisan yang jelas antara parti kerajaan dan parti pembangkang. Selepas Pilihan Raya Umum (PRU12), keadaan itu berubah. Barisan Nasional (BN) menguasai kerajaan Pusat sementara DAP, PKR dan Pas pula menguasai beberapa kerajaan negeri. Ini bermaksud semua pemimpin parti politik kini mempunyai akses kepada kuasa dan peluang.
Pengalaman memberikan ceramah pada program anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) yang membabitkan parti politik menunjukkan bahawa inisiatif penganjuran program berkenaan dimulakan oleh IIM; bukan sebaliknya. Sekiranya kita bersungguh-sungguh ingin membanteras jenayah rasuah, maka parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jabatan kerajaan dan organisasi swasta hendaklah mengambil tanggungjawab mendidik ahli dan kakitangan masing-masing tanpa mengharapkan inisiatif dimulakan IIM.
Selain itu, SPRM juga berfungsi melakukan pendidikan jenayah rasuah. Ambillah kesempatan menjalin kerjasama dengan SPRM bagi mendidik masyarakat, bukan sekadar mengharapkan SPRM menyiasat dan menahan perasuah.
Memang pendidikan adalah satu proses yang memakan masa. Namun itulah yang perlu dilakukan sekiranya kita ingin membanteras jenayah ini. Usah harapkan jalan singkat.
Satu lagi kaedah mengurangkan jenayah rasuah politik ia melalui literasi politik. Pemimpin, ahli parti politik dan rakyat seluruhnya hendaklah dididik mengenai proses politik dan bagaimanakah mereka boleh mengambil bahagian dalam proses itu secara efektif.
Sekiranya rakyat memahami dan menerima kepemimpinan politik sebagai beban dan bukannya habuan, maka usaha menangani jenayah rasuah akan menjadi lebih mudah.
Apa yang berlaku sekarang ialah ada orang yang melihat pembabitan dalam politik sebagai satu proses mendapatkan kuasa untuk menjadi kaya. Apabila mendapat jawatan, ia dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengaut harta awam sebagai harta peribadi. Tentulah menjelekkan apabila seorang juruteknik rendah yang menjadi wakil rakyat selama satu penggal boleh memiliki rumah mewah dan kereta besar.
Ada orang berkata hanya penerima rasuah yang dikenakan hukuman, manakala pemberi rasuah bebas. Sekurang-kurangnya itulah yang dilaporkan dalam media massa dan ia memberikan gambaran kepada masyarakat bahawa memberi rasuah tidak salah. Apa yang salah ialah menerima rasuah dan sebab itulah mereka menjadi sasaran siasatan dan pendakwaan.
Saya percaya itu tidak tepat dan persepsi ini harus dibetulkan SPRM. Sekiranya laporan mengenai pemberi rasuah disiarkan dalam media massa, ia akan membantu membina kefahaman masyarakat bahawa memberi rasuah juga adalah satu jenayah.
Indeks persepsi rasuah Transparency International yang meletakkan Malaysia di tangga ke-57 bukanlah sesuatu yang menggembirakan. Pada abad ke-21, persepsi adalah sesuatu yang diterima sebagai realiti. Maka, persepsi mesti diuruskan dengan baik.
Menguruskan persepsi bukan dengan menafikannya. Saya fikir kita tidak perlu mempertikaikan metodologi kajian atau organisasi berkenaan bagi menidakkan sesuatu hasil kajian atau indeks yang tidak memihak kepada kita.
Apa yang perlu dilakukan ialah menerima indeks itu sebagai satu input, di samping menerima input lain. Dalam satu undian atau poll yang saya kendalikan di blog http://nobisha.blogspot.com, sebanyak 35 peratus daripada 269 responden mengatakan mereka pernah memberi atau menerima rasuah, manakala, 61 peratus mengatakan mereka mengenali secara peribadi seseorang yang menerima atau memberi rasuah. Ertinya, masyarakat melihat jenayah rasuah sebagai sesuatu yang merata dan ia perlu dibanteras sehingga ke akar umbi.
Kalau begitu, tunggu apa lagi?
http://nobisha.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan