Isnin, 14 Disember 2009

Dr. Mahathir sedih tuduhan rasis

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Keseimbangan kedudukan antara kaum amat penting bagi memastikan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara berjalan dengan baik, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu berkata, banyak juga usaha kerajaan untuk memperbaiki keseimbangan itu dianggap sebagai langkah yang bersifat perkauman semata-mata.

"Kita amat bernasib baik. Kita tidak macam negara lain, selalu ada kekacauan kaum sehingga menjejaskan ekonomi. Sebab itu perlu ada kestabilan kaum baru pembangunan negara dapat berkembang baik.

"Untuk mencapai matlamat ini, kita mungkin dianggap rasis tetapi percayalah jika satu kaum terlalu ke depan manakala kaum lain ketinggalan jauh ke belakang, akan wujud perasaan tidak puas hati lalu mengakibatkan kesan buruk kepada negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena sambutan Jubli Perak universiti itu, di sini semalam.

Dr. Mahathir berkata, penubuhan UUM 25 tahun lalu merupakan satu daripada langkah kerajaan ketika itu untuk mengimbangi kedudukan kaum bumiputera dengan kaum lain di negara ini dengan memberi penekanan terhadap aspek perniagaan.

"Masalah bumiputera paling ketara adalah di dalam perniagaan dan menguruskan kewangan dengan baik. Banyak persepsi salah mengenai perniagaan menjadi masalah untuk mereka berjaya. Maka UUM ditubuh bagi membetulkan persepsi salah itu," katanya.

Beliau berkata, langkah yang telah dilaksana itu tidak bermakna ia bersifat perkauman sehingga melupakan kaum-kaum lain.

"Saya ingatkan bahawa kita bukan rasis tetapi hendak pastikan agihan yang setimpal. Kita tetapkan 30 peratus kuota bumiputera sahaja dan tidak minta lebih," katanya.

Katanya, bukan mudah untuk mencapai kuota itu dan bermacam-macam usaha telah dilakukan namun masih ramai yang menuduh ia sesuatu yang tidak adil untuk kaum lain.

"Saya sedih sebab kita cuba berusaha perbaiki keadaan untuk lebih stabil tetapi dituduh rasis. Selama ini kita hidup dengan aman damai maka kita semua dapat membangunkan negara.

"Sebab itu kemampuan setiap rakyat Malaysia menjadi lebih baik berbanding di negara lain," katanya.

Beliau berkata, bumiputera harus menukar cara pemikiran mereka agar tidak hanya mengharapkan kepada kerajaan untuk membantu dalam soal perniagaan.

Katanya, untuk mengecapi kejayaan di dalam dunia perniagaan memerlukan kesabaran dan usaha jangka panjang dan bukannya hanya mementingkan keuntungan dalam jangka masa pendek.

"Kadang-kadang juga kita perlu mengubah tujuan asal kita untuk berjaya dalam dunia ini. Kita perlu ada persepsi yang tepat dalam bidang ini untuk berjaya," katanya.

Tiada ulasan: