Khamis, 10 Disember 2009

Kesilapan teknikal tak jejas Bajet Pahang

BERITA HARIAN ONLINE


KUANTAN: Kerajaan negeri tidak akan mengadakan sidang khas untuk membentangkan semula Bajet Negeri 2010 kerana kesilapan teknikal yang didakwa terkandung di bajet itu tidak menjejaskan kandungan laporan berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob (kanan), berkata kesilapan yang dimaksudkan merujuk kepada lampiran Lembaran Imbangan pada Bajet 2010 yang tidak ditandatangani dan tarikh yang tercatat pada lampiran itu.

“Lampiran itu adalah ekstrak daripada Penyata Kewangan Negeri Pahang 2008 yang sebenarnya sudah disahkan dan diluluskan Ketua Audit Negara.

"Ia juga tidak ditandatangani kerana lampiran itu hanya sebagai lampiran rujukan bertujuan memberi penjelasan kepada Ahli Dewan (Undangan Negeri).

"Malangnya, berlaku kesilapan tarikh pada lampiran itu, sebaliknya salinan asal pada Penyata Kewangan Negeri Pahang 2008 adalah benar dan tepat," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di pejabatnya di Wisma Negeri di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengenai kemungkinan kerajaan Pahang perlu membentangkan semula Bajet 2010 berikutan berlaku kesilapan teknikal pada laporan itu yang dibentangkan minggu lalu.

Adnan berkata kesilapan yang berlaku itu bukanlah kesilapan substantif serta tidak menjejaskan struktur atau isi kandungan penyata kewangan.

Tiada ulasan: