UTUSAN ONLINE
KUCHING - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu memastikan semua projek tergendala di Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dapat diselesaikan terlebih dahulu sebelum Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dilaksanakan.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, apabila projek RMK-9 dapat disiapkan sepenuhnya, maka rancangan projek-projek di bawah RMK-10 dapat digerakkan secepat mungkin.
Menurutnya, antara projek terlibat adalah pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak yang baru dan masih tertangguh disebabkan faktor lokasi, tanah dan kontraktor bermasalah.
''Sebelum kita memulakan projek di bawah RMK-10, terlebih dahulu kita akan memastikan projek-projek sakit di bawah RMK-9 dilaksanakan segera," katanya pada sidang akhbar di IPK Sarawak di sini hari ini.
Terdahulu beliau mendengar taklimat perkembangan dan pembangunan terkini polis Sarawak yang turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Hamza Taib dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II (SAC II) Huzir Mohamed.
Dalam pada itu, Hishammuddin memberitahu, beliau telah diberi taklimat secara terperinci oleh pihak IPK Sarawak yang antara lain menyentuh 'jalan-jalan tikus' di sempadan dan usaha mengurangkan kadar jenayah di samping kes-kes yang agak sensasi.
Katanya, banyak perkara dibangkitkan dan ia tidak jauh berbeza daripada taklimat di negeri-negeri lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan