Isnin, 25 Mei 2009

Mogok lapar tidak salah jika tak sebabkan kematian - Husam

Oleh G. MANIMARAN


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Paduka Husam Musa berkata, tindakan mogok lapar anjuran Pakatan Rakyat Perak selama tiga hari bermula esok tidak salah, malah tidak bertentangan dengan agama selagi ia "tidak membawa kepada kematian."

Menurut Husam, terdapat pelbagai cara untuk melahirkan protes berhubung sesuatu perkara, dan mogok lapar atau berpuasa merupakan salah satu daripadanya yang diamalkan oleh banyak pihak.

"Pakai baju hitam pun salah, pakai baju kuning pun salah, pakai baju merah pun salah dan pakai baju hijau pun salah... sekarang berpuasa, mogok lapar pun salah," kata beliau ketika ditemui di Ibu Pejabat PAS pagi ini.

Jelas beliau, umat Islam yang berpuasa wajib berbuka sebagaimana dikehendaki oleh agama.

"Ini trend untuk menyatakan protes (berhubung sesuatu isu)," kata beliau lagi.

Gabungan parti pembangkang di Perak akan mengadakan mogok lapar selama tiga hari mulai esok sebagai manifestasi untuk mendesak pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sebagai penyelesaian krisis politik negeri itu.

Kelamrin, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, kempen mogok lapar selama 72 jam itu akan bermula sebaik dirasmikan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bersama bekas Speaker DUN Perak V. Sivakumar.

Tiada ulasan: