Jumaat, 29 Mei 2009

KL tertinggi kes gores, menang

UTUSAN ONLINE


PETALING JAYA - Kuala Lumpur mencatat kes penipuan gores dan menang tertinggi sepanjang tahun lalu iaitu sebanyak 481 kes.

Jumlah berkenaan merangkumi hampir 19 peratus daripada keseluruhan kes penipuan dilaporkan di seluruh negara iaitu sebanyak 2,497 kes dalam tempoh itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Tan Lian Hoe berkata, angka tersebut berada di tahap membimbangkan meskipun pelbagai usaha dijalankan bagi menyedarkan pengguna.

"Walaupun banyak operasi dilancarkan pihak berkuasa, namun syarikat yang menjalankan aktiviti gores dan menang melakukan pelbagai taktik memperdaya mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Memperkasa Pengguna Secara Kerjasama Pintar bersama Pergerakan Pengguna Pekerja Malaysia (PPPM) 2009 di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi PPPM, Awang Ibrahim dan Setiausaha Agungnya, Mustafa Maarof.

Menurut Lian Hoe, sikap sambil lewa dan tidak prihatin pengguna merupakan salah satu punca yang menyebabkan aktiviti tersebut masih berleluasa.

"Pengguna mudah terpedaya dengan kegiatan berkenaan kerana tertarik dengan tawaran pelbagai hadiah menarik yang dijanjikan pihak berkenaan.

"Sehubungan itu, pengguna perlu mengambil langkah bijak bagi mengelak menjadi mangsa penipuan kegiatan tidak bertanggungjawab ini," katanya.

Lian Hoe menegaskan, mana-mana syarikat yang didapati menipu orang ramai kerana melakukan aktiviti tersebut boleh dikenakan tindakan.

"Mereka boleh didenda sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,'' katanya.

Tambahnya, syarikat yang melakukan kegiatan itu akan dikenakan denda RM250,000 dan kesalahan kedua RM500,000.

Tiada ulasan: