Ahad, 31 Mei 2009

Anwar : BN Jerumuskan Malaysia Ke Status Negara Samseng

TV ANTARA


Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim berkata kebobrokan, pencabulan kedaulatan undang-undang dan penyalahgunaan kuasa oleh pentadbiran Barisan Nasional telah menurunkan imej dan status Malaysia kepada status negara samseng.

Justeru itu keperluan negara ditadbir oleh barisan pimpinan yang baru dengan bersifat peka, celik undang-undang dan sensitif rakyat amat mendesak.

Anwar menegaskan dalam usaha negara memacu pertumbuhan ekonomi dan mengejar status negara maju ia tidak sama sekali boleh mengabaikan kedaulatan undang-undang dan hak semua warganegara.

Semasa berucap pada majlis makan malam anjuran DAP di Dewan Moral Uplifting, Berapit, Permatang Pauh semalam Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga berkata gelita politik negara ini mendesak barisan kepimpinan sedia ada diganti dengan barisan pemimpin baru yang berwibawa, peka kepada hak dan aspirasi rakyat serta mempunyai kualiti amanah, tawadhu serta berwawasan.

“Kalau orang melayu dan pemimpin melayu mahu dihormati oleh semua kaum di negara ini, pemimpin itu harus bersikap adil dan saksama dan tidak boleh tindas rakyat. Hari ini, tanah dicuri, balak dicuri, saham dicuri sehinggakan negeri yang kaya bertukar miskin,” kata Anwar.

Jelas Anwar kepada lebih 1,000 penyokong Pakatan Rakyat, wabak penyelewengan Umno dan BN sudah sampai ke tahap terlalu parah dan telah menular kepada semua pemimpin dari semua kaum di negara ini.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang merayu rakyat untuk memberi mesej dan tanda yang jelas dan tegas kepada pemimpin Umno dan BN hari ini bahawa barisan pemimpin yang baru akan bakal menyusul tidak lama lagi.

“Menteri melayu pun curi, menteri cina pun sama juga. Bila diberi undi, dia mahu buat duit pula. Kita harus beritahu kepada pemimpin-pemimpin yang mahu buat duit, suruh dia pergi berniaga. Jangan salahguna kuasa Menteri untuk cari duit,” ujar beliau lagi.

Menyentuh isu rampasan kuasa di Perak, Anwar berkata media arus perdana milik Umno dan BN memainkan api sentimen perkauman berhubung pemberian tanah kepada pekebun-pekebun Cina.

Hakikatnya Pakatan Rakyat memberi tanah kepada semua orang miskin tidak mengira kaum, berbanding BN yang telah menyerahkan pulau atau gunung dan tanah rakyat kepada kroni dan golongan korporat kaya.

“Saya tanya kepada orang Melayu di sebuah ceramah baru-baru ini,saya tanya apakah salah bagi tanah kepada pekebun-pekebun Cina yang telah berkebun 40-50 tahun? Orang Melayu kata tidak salah. Saya kata kalau Pakatan Rakyat pimpin, kita akan jaga dan bagi tanah kepada semua Melayu miskin, Cina miskin, India miskin, semua orang miskin,” katanya lagi.

Sambil berkongsi pengalaman beliau dalam politik dan kerajaan beliau menekankan seseorang pemimpin itu harus mempunyai ciri-ciri ketokohan seperti berani untuk memberi pendapat dan mampu untuk menarik sokongan semua kaum.

“You mahu jadi pemimpin Cina, Melayu, India atau Dayak, kita pertama sekali harus ada sokongan rakyat, dan kedua harus ada keberanian. Kalau mahu jadi tukang angguk, lebih baik jadi penghulu,” tambah beliau lagi.

Tiada ulasan: