Sabtu, 30 Mei 2009

Timbalan Presiden MIC: Sothi juga mahu turun gelanggang

MSTAR ONLINE


PORT DICKSON: Naib Presiden MIC, Datuk S. Sothinathan hari ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden MIC pada pemilihan parti itu September depan.

Ketika mengumumkan perkara itu, bekas Setiausaha Agung MIC dan bekas Ahli Parlimen Teluk Kemang yang berusia 49 tahun itu berkata keputusan itu dibuat setelah berbincang dengan pemimpin MIC di semua peringkat termasuk individu dan masyarakat India keseluruhannya.

"Saya menawarkan diri untuk bertanding setelah yakin akan mendapat sokongan daripada seluruh negara," katanya pada sidang media di sini.

Turut hadir ialah Ketua MIC Bahagian Teluk Kemang, M. Vellu dan Ketua Wanita MIC Negeri Sembilan yang juga Ketua Wanita MIC Teluk Kemang, Dr. P. Tanaletchumy.

Dengan pengumuman Sothinathan itu, persaingan bagi merebut jawatan kedua tertinggi parti itu bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru. Selain Sothinathan dan Datuk G. Palanivel yang akan mempertahankan jawatan, seorang lagi yang menyatakan hasrat merebut jawatan itu ialah Datuk S. Subramaniam.

Ditanya adakah beliau mendapat restu Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu untuk bertanding merebut jawatan itu, katanya beliau telah memaklumkan hasratnya itu kepada presiden parti dan menyatakan bahawa beliau berpaksa membuat pilihan itu demi kepentingan parti dan juga masyarakat India.

"Saya yakin sejak tahun 1984 sehingga sekarang iaitu selama 25 tahun saya berkhidmat dengan beliau, perhubungan saya dengan beliau memang begitu akrab sekali dan beliau tentu akan merestui keputusan saya.

"Dia (Samy Vellu) bagaimanapun meminta saya memikirkannya dengan berhati-hati sebelum membuat keputusan. Dia tidak pula menyatakan tidak menggalakkan," katanya.

Sothinathan berkata, hasrat beliau untuk bertanding jawatan itu juga didorong oleh rasa tanggungjawab untuk membawa perubahan dinamik kepada parti dan masyarakat India.

"Itulah sebabnya saya menawarkan diri atas permintaan dan nasihat daripada akar umbi. Selama ini saya telah memberi komitmen sepenuhnya untuk membantu parti demi kesejahteraan masyarakat India di negara ini.

"Untuk itu, kita perlu mempunyai strategi untuk memenangi semula hati rakyat agar mereka terus menyokong kita. Apa yang saya tawarkan di sini ialah saya komited untuk membawa perubahan demi kebaikan masyarakat India di negara ini," katanya.

Beliau berkata, MIC perlu mempunyai pemimpin yang dinamik untuk membawa parti di tahap yang tinggi selain memperkuatkan dan membina semula MIC memandangkan masyarakat India hanya sebanyak 7.5 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini.BERNAMA

BERITA TERDAHULU

SEREMBAN: Naib Presiden MIC, Datuk S. Sothinathan hari ini mengesahkan hasrat beliau untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu tahun ini.

Pemilihan dijangka berlangsung September.

Dengan pendirian beliau itu, tiga orang telah menawarkan diri merebut jawatan nombor dua MIC itu.

Penyandang jawatan, Datuk G. Palanivel juga akan dicabar oleh bekas Timbalan Presiden, Datuk S. Subramaniam.

Tiada ulasan: