Sabtu, 30 Mei 2009

Isteri Akhil tunggu 2 Jun

Maizawati Zainal


KUALA LUMPUR: "Cukuplah setakat ini kenyataan daripada saya. Apapun yang dia katakan (Akhil), saya tidak mahu mengulasnya dan biarlah perbicaraan pada 2 Jun nanti menentukan segala-galanya," kata isteri penceramah bebas dan penyanyi, Akhil Hayy, Maizawati Zainal.

Maizawati berkata, keengganannya memberikan kenyataan balas adalah kerana dia tidak mahu lagi memanjangkan cerita serta memburukkan keadaan.

"Sebelum ini pun saya sudah banyak mengeluarkan kenyataan dan dia kini juga sudah pun mengeluarkan kenyataan. Jadi saya rasa itu adil untuk kami berdua. Biarlah di mahkamah nanti kami berjumpa dan menyelesaikan semua masalah," katanya ketika dihubungi semalam.

Maizawati diminta mengulas mengenai kenyataan Akhil yang mengatakan Maizawati masih lagi isterinya dan dia turut kesal kerana isterinya itu lebih rela mendedahkan masalah rumah tangga mereka kepada media daripada merujuknya ke pejabat kadi.

Dalam laporan itu, Akhil berkata, pendedahan itu secara tidak langsung mengundang spekulasi yang boleh mengganggu karier dan menjejaskan kredibilitinya sebagai pendakwah.

Ditanya apakah Akhil ada menghubunginya bertanyakan tindakannya mendedahkan masalah mereka kepada media, Maizawati berkata suaminya itu tidak menghubunginya.

Tiada ulasan: