Khamis, 28 Mei 2009

PPIM dedah ada syarikat larang pekerja solat

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu Kementerian Sumber Manusia mengeluarkan garis panduan secara rasmi kepada semua majikan mengenai kebenaran menunaikan solat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Maamor Osman berkata, tindakan itu perlu dibuat segera ekoran terdapat pihak majikan khususnya syarikat yang dipelopori bukan Islam menidakkan hak pekerja Muslim bersolat.

Beliau berkata, pihak kementerian harus mengambil berat isu itu kerana ia menyentuh hak seseorang Muslim menunaikan ibadat asas selain menyalahi Perlembagaan.

"PPIM pernah menerima aduan mengenai tindakan majikan yang menyekat pekerja daripada menunaikan solat dan didapati perkara ini berlaku. Sebagai tindakan susulan PPIM telah menghantar surat kepada pihak Kementerian Sumber Manusia.

"Isu ini harus diselesaikan segera kerana ia melibatkan hak menunaikan ibadat paling asas dalam Islam. PPIM amat kesal kerana ada pihak yang berani menidakkan hak orang Islam bersolat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Isu itu tercetus apabila PPIM menerima aduan bahawa terdapat sebuah syarikat yang melarang pekerja Muslim daripada bersolat melalui satu memorandum yang diberikan kepada mereka bertarikh 20 Mac lalu.

Ekoran itu pihak PPIM telah bertindak memaparkan memorandum tersebut di dalam laman webnya.

Akhirnya, pihak syarikat terbabit menghantar satu surat bertarikh 15 Mei 2009 kepada PPIM memohon supaya menarik balik salinan memorandum serta gambar yang dipaparkan.

Di dalam surat kepada PPIM itu, pihak syarikat menjelaskan berlaku salah faham antara majikan dan pekerja.

Bagaimanapun dalam surat yang sama, syarikat terlibat telah memberi dua pilihan untuk pekerja Muslim sama ada gaji akan dipotong bagi setiap jam yang digunakan atau bekerja lebih masa berdasarkan tempoh yang telah diambil untuk sembahyang.

Tiada ulasan: