UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Majlis Tertinggi (MT) UMNO melantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai penyelia pilihan raya kecil tersebut bagi pihak MT.
''Mustapa akan bertanggungjawab berkaitan dengan operasi harian dan membuat keputusan-keputusan sewajarnya sebagai pengarah pilihan raya kecil,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Turut hadir Muhyiddin; Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal; Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan, Ahmad Maslan; Bendahari Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, Ketua Pergerakan Wanita, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Kerusi DUN Manek Urai diisytiharkan kosong berkuat kuasa 23 Mei lalu setelah penyandangnya, Ismail Yaacob meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 22 Mei lalu kerana sakit jantung.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon DUN Manek Urai pada 6 Julai ini, manakala pengundian dijalankan pada 14 Julai
Mengenai calon DUN Manek Urai, Najib berkata, MT menunggu syor daripada Badan Perhubungan UMNO Kelantan.
1 ulasan:
Ape-ape aje ...
View Profile: Rantong™
Catat Ulasan