Oleh Shaarani Ismail
KUALA TERENGGANU: Kerajaan mungkin mewajibkan pengusaha bas ekspres dan henti-henti mengikat kelajuan kenderaan supaya tidak lebih 90 kilometer sejam bagi mengurangkan kemalangan membabitkan kenderaan awam kerana dipandu laju.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata langkah itu sudah pun dilaksanakan di beberapa negara maju seperti Jepun dan beberapa negara Eropah, termasuk Jerman.
"Pengalaman saya di beberapa negara maju mendapati bas ekspres dan bas henti-henti hanya mempunyai kelajuan maksimum 90 kilometer sejam dan dipandu di lorong ketiga serta tidak mengganggu kenderaan lain.
"Di negara ini, sering kita lihat bas ekspres memecut laju dan keadaan ini sudah tentu menakut dan membahayakan pengguna jalan raya terutama apabila ia membabitkan bas dua tingkat," katanya selepas menyampaikan surat kelulusan kereta sewa kepada 73 pemandu kereta sewa seluruh Terengganu di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Markiman Kobiran.
Nazri berkata, walaupun sebelum ini pelbagai kaedah dan cara sudah dilaksanakan kerajaan untuk memastikan pemandu bas ekspres mematuhi peraturan had laju yang ditetapkan, termasuk pemasangan kotak hitam dan pemantauan menggunakan sistem kedudukan global (GPS), namun ia tidak berkesan.
Sehubungan itu, Nazri berkata, mengikat dan mengehadkan kelajuan maksimum bas pada 90 kilometer sejam adalah antara tiga cadangan dikemukakan kepada Kabinet untuk pertimbangan sebelum dilaksanakan.
Katanya, dua lagi cadangan adalah mewujudkan sekolah memandu pengangkutan awam yang diuruskan kerajaan bagi memastikan latihan diberikan kepada bakal pemandu bas dan kenderaan awam serta penubuhan Suruhanjaya Kebangsaan Pengangkutan Awam.
Nazri berkata, penubuhan institusi itu yang akan menyediakan latihan dan kursus pemanduan kenderaan awam, adalah sebahagian rumusan jangka panjang bagi meningkatkan profesionalisme pemandu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan