Rabu, 27 Mei 2009

RTM siar dokumentari kekejaman PKM

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan semula dokumentari kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM) dan bekas pemimpinnya, Chin Peng bagi menyedarkan rakyat supaya tidak terus menyokong kumpulan berkenaan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pihaknya sedang meneliti arkib lama termasuk yang dibuat ketika zaman pemerintahan British untuk ditayang semula kepada rakyat.

"Kita memang mempunyai rancangan ini dan sedang mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikannya dapat dilaksanakan dengan segera," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Setiausaha Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Madya Dr. Zainal Abidin Borhan semalam, supaya kisah kekejaman PKM disiarkan semula RTM bagi menyedarkan semua pihak tentang keperitan yang pernah mereka timbulkan.

Gapena juga menentang tindakan membawa pulang Chin Peng atas alasan pemimpin PKM itu tidak layak diiktiraf sebagai seorang pejuang kerana telah menyebabkan ramai penduduk Tanah Melayu terkorban dan menderita sepanjang tempoh darurat antara tahun 1948 hingga 1981.

Baru-baru ini, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan mencadangkan agar kerajaan membenarkan Chin Peng pulang ke tanah air kerana ia akan membantu negara untuk mencapai gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Rais, tindakan menayang semula dokumentari itu amat perlu memandangkan terdapat akhbar dan blog tertentu menyiarkan rencana mengenai nostalgia Chin Peng dan PKM.

"Kita perlu mengambil langkah yang tegas untuk membendung tindakan pihak-pihak yang cuba menggalakkan kemunculan semula komunis di Malaysia," katanya.

Dalam perkembangan sama, Rais berharap stesen televisyen swasta mencontohi langkah yang akan dilaksanakan oleh RTM itu bagi memastikan perbuatan cuba mengagung-agungkan PKM tidak berterusan.

"Kita ingin lihat stesen-stesen swasta mempunyai semangat kenegaraan yang kuat dan bersedia melawan mana-mana anasir yang cuba merosakkan negara ini," ujarnya.

Tiada ulasan: