Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB
KUALA LUMPUR: Bekas Bendahari Agung Parti Progresif Penduduk (PPP), S. Muthu Lingam mempertikaikan kesahihan dokumen yang dihantar oleh Presiden parti, Datuk M Kayveas ke Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang didakwa hilang kerana disabotaj.
Muthu Lingam yang meletak jawatan Mei tahun lalu berkata, sepanjang menyandang jawatan Bendahari Agung, beliau tidak pernah menandatangani sebarang dokumen berkaitan kewangan parti.
Justeru beliau menyifatkan penyediaan dokumen oleh Kayveas yang dikatakan untuk melengkapkan laporan tahunan parti itu sejak tujuh tahun lalu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.
"Selama empat tahun memegang jawatan itu bermula tahun 2004, saya belum pernah melihat sebarang dokumen serta akaun yang sah dihantar ke ROS.
"Lebih mendukacitakan, saya tidak dibenarkan sama sekali menyediakan atau melihat dokumen yang telah disediakan oleh Datuk Kayveas sebagai Presiden serta tidak pernah menandatangani sebarang cek atau penyata bank," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir bekas Ketua Pemuda PPP, R Ellan Govan; Ketua Wanita Wilayah Persekutuan, Dr N S Srivalli serta kira-kira 20 ahli yang lain.
Semalam, Kayveas berkata, pihaknya akan menghantar beberapa dokumen bagi melengkapkan laporan tahunan parti itu ke pejabat ROS hari ini selepas mendapati terdapat kehilangan beberapa dokumen dari ROS, dipercayai disabotaj oleh pihak tertentu.
Muthu Lingam berkata, beliau telah beberapa kali mengutarakan rasa tidak puas hati berhubung tugas yang tidak dapat dilaksanakannya itu, namun Kayveas meminta beliau supaya tidak campur tangan dalam urusan kewangan parti itu.
"Bukankah menjadi tugas Bendahari Agung menyediakan laporan (kewangan).
"Jawapan yang sering diberikan adalah, sebagai seorang Presiden, beliau (Kayveas) tahu apa yang patut dilakukan dan meminta saya agar tidak terlalu memasuki urusan kewangan PPP dan ini sekali gus bertentangan dengan peruntukan tugas seorang Bendahari Agung yang digariskan dalam perlembagaan parti," katanya.
Dalam sidang media yang menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Senator T Murugiah sebagai Presiden itu, Muthu Lingam mencabar Kayveas supaya membuktikan kenyataan yang dibuat beliau hari ini tidak benar.
Sementara itu, Ellan berkata, beliau kesal dengan dakwaan Kayveas berhubung beberapa dokumen PPP yang hilang daripada ROS kerana kenyataan itu sekali gus seolah-olah mengatakan ROS tidak mempunyai prosedur dan kawalan keselamatan yang longgar.
Ellan yang digantung daripada PPP oleh Kayveas kerana menghadiri Perhimpunan Agung (EGM) Ahad lalu berkata, beliau kesal dengan kenyataan Kayveas dalam satu laporan akhbar yang mengatakan mereka ada berjumpa dan Ellan meminta digantikan bagi jawatan itu atas alasan sakit sedangkan pada hari yang sama, beliau telah digantung tugas.
"Saya ke Putrajaya pada Ahad lepas untuk menyokong EGM PPP bagi membolehkan Murugiah dipilih sebagai Presiden PPP setelah undi tidak percaya terhadap Kayveas dan bukannya memohon cuti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan