Isnin, 25 Mei 2009

Dakwaan Aminah: SPR mahu kaji bukti terlebih dahulu

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


BUKIT MERTAJAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengkaji bukti-bukti yang akan dikemukakan oleh calon Bebas, Aminah Abdullah berhubung dakwaannya ditawarkan ganjaran oleh wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menarik diri daripada bertanding di Penanti.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya perlu meneliti setiap bukti yang diberikan sebelum membuat sebarang keputusan lanjut mengenainya.

"Kita akan kaji dulu apa bukti-bukti yang beliau akan berikan, kita perlu pastikan kedudukan sebenar perkara ini mengenai apakah tawaran-tawaran yang dimaksudkan serta siapa yang terlibat.

"Perkara ini akan dirujuk kepada penasihat undang-undang parti," katanya kepada mStar Online.

Abdul Aziz berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Aminah yang akan melaporkan mengenai tawaran yang diterimanya itu kepada SPR sebagai badan pengurus pilihan raya untuk mengambil tindakan susulan.

Aminah akan membuat laporan tersebut di pejabat SPR Pulau Pinang di Komtar esok.

Pagi tadi Aminah mendedahkan bukti berbentuk rakaman audio perbualan antara beliau bersama wakil PKR yang cuba menawarkan ganjaran kepadanya termasuk wang sebanyak RM80,000 sebagai ganti rugi dan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Ditanya sama ada penyertaan calon PKR, Mansor Othman akan terbatal jika SPR mendapati dakwaan Aminah itu benar, Abdul Aziz berkata perkara tersebut tidak dapat diputuskan buat masa ini.

"Kita tak boleh ramalkan apa-apa lagi, kita perlu teliti dahulu sebelum buat keputusan," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan untuk merujuk kes berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Tengoklah dulu macam mana nanti, kalau perlu kita rujuk mereka (SPRM) juga," katanya.

Tiada ulasan: