Khamis, 28 Mei 2009

Ibu Kugan saman polis, minta tisu

Jimadie Shah Othman


Ibu kepada A Kugan yang mati dalam tahanan polis Januari lalu hari ini memfailkan permohonan untuk membatalkan waran geledah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bulan lalu.

Dalam permohonannya itu, N Indra memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan waran Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 6 April lalu yang membenarkan polis menggeledah Jabatan Patologi PPUM.

Indra juga meminta mahkamah memerintahkan kesemua barang yang didapati daripada penggeledahan itu, termasuk dokumen berkaitan dan tisu badan anaknya dipulangkan kepada PPUM.

Peguamnya N Surendran mengumumkan perkara itu dalam sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta di ibu negara pagi ini selepas membuat permohonan tersebut.

Indra yang kelihatan sebak sepanjang sidang media singkat selama 15 minit itu turut ditemani suaminya G Ananthan dan aktivis NGO pemantau kepolisan Police Watch, S Jayathas.

Surendan memberitahu pemberita, anak guamnnya juga memohon perintah-perintah lanjut yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Indra menamakan pegawai penyiasat kanan polis Petaling Jaya, ASP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar sebagai responden pertama dan ketua polis daerah itu, ACP Arjunaidi Mohamed sebagai responden kedua.

Manakala pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zini dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan masing-masing responden ketiga dan keempat.

Tiada ulasan: