Sabtu, 30 Mei 2009

Kayveas: Saya tak gila kuasa

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN


KUALA LUMPUR: Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas berkata, beliau tidak gila kuasa sehingga mahu terus mempertahankan jawatannya dalam parti itu.

Sebaliknya kata beliau, kumpulan pro-T. Murugiah sebagai kumpulan yang suka mencari publisiti dengan memburukkan peribadinya.

"Dalam Perlembagaan PPP, jika seseorang itu terlibat kes-kes jenayah sahaja baru dia tidak boleh jadi Presiden PPP.

"Saya tak pernah dikenakan tindakan undang-undang berkaitan jenayah, walau lima sen pun... kamu boleh semak. Saya anggap ini bukan isu," katanya.

Semalam, kumpulan pro-Murugiah mendakwa Kayveas didenda RM5,000 oleh Majlis Peguam di bawah Seksyen 103D Akta Profesyen Guaman 1976.

Mengulas lanjut mengenai krisis dalaman parti itu, Kayveas berkata, beliau bersedia berhadapan dengan segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan oleh kumpulan pro- Murugiah ke atasnya.

"Setiap orang melakukan kesalahan dan kita cuba memperbaikinya, apa jua rintangan kita akan cuba mengatasinya dengan sebaik mungkin.

"Saya memberitahu kepada semua ahli parti supaya tidak membuang masa menjawab apa kesemua tuduhan yang dilemparkan itu.

"Mereka (kumpulan pro-Murugiah) adalah kumpulan yang telah dipecat daripada parti dan tidak guna kita membazir masa mendengar apa yang diperkatakan mereka," katanya.

Jelas beliau, krisis yang berlaku tidak akan melemahkan semangat ahli-ahli parti dan mereka akan menjadi lebih kuat selepas ini.

"Saya berjanji akan menjadikan PPP sebagai sebuah parti yang dikenali dan digeruni selepas ini," katanya. Kayveas yang juga bekas Ahli Parlimen Taiping mendakwa, 99 peratus ahli PPP di seluruh negara menyokongnya dan hanya satu peratus tidak menyokongnya.

"Hari ini semua Pengerusi Badan Perhubungan Negeri ada di sini. Anda boleh lihat ini. Mereka (kumpulan pro-Murugiah) boleh buat apa jua kenyataan yang menyatakan ada ahli-ahli parti sokong mereka tapi mereka tidak ada bukti," katanya.

Beliau mendakwa Murugiah menggunakan kapasitinya sebagai Timbalan Menteri mengadakan sidang media memburukkan nama baiknya dan PPP, malah ia turut mencalar imej Barisan Nasional secara tidak langsung.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai status Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah yang dipilih oleh kumpulannya sebagai Presiden PPP mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti tersebut di Sentul.

Berkaitan dengan tuduhan yang dilemparkan ke atas beliau sebelum ini, Kayveas berkata, beliau bukan seorang yang 'gila kuasa' kerana setiap tiga tahun sekali parti itu mengadakan pemilihan dan semua jawatan tertinggi dalam parti dipertandingkan.

"Hari ini pun saya hanya menghantar borang pencalonan pada pukul 11 pagi... saya sengaja nak tengok, jika ada calon yang ingin bertanding jawatan Presiden dan dia layak serta boleh memimpin parti.

"Saya bercadang untuk tarik diri, namun sehingga waktu itu tiada sesiapa yang menghantar borang.

"Di sini anda boleh lihat saya tidak 'gila kuasa' dan semua calon-calon yang bertanding untuk jawatan tertinggi dalam parti juga tidak menghantar borang pencalonan sehingga saya menghantarnya dahulu.

"Semua calon menunggu hingga pukul 11... Inilah semangat perpaduan yang kita ada dalam parti. Kita tidak akan terpengaruh dengan perkara yang sengaja ditimbulkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab (kumpulan pro-Murugiah)," katanya.

Ketika ditanya mengenai status Murugiah sebagai ahli PPP, Kayveas berkata, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu masih berpeluang untuk mengemukakan rayuan sebelum tengah malam ini.

"Kita beri dia peluang, kalau dia buat rayuan kita akan dengar dahulu. Kalau sampai 12 tengah malam dia tidak buat rayuan baguslah.

"Kita anggap dia telah dipecat daripada parti. Saya bagi nasihat kepada mereka supaya jangan kacau kami dan kita akan ambil tindakan mahkamah sebagai permulaan," katanya.

Kayveas turut melabelkan Murugiah sebagai pemimpin yang 'besar kepala' setelah mendapat jawatan Timbalan Menteri.

"Baru dapat jawatan sikit dia (Murugiah) nak bunuh parti, nak bunuh Presiden dan nak bunuh ahli-ahli parti. Macam ini ke pemimpin yang kita nak pilih?" katanya.

Pada 26 Mei lalu, Lembaga Disiplin PPP telah memecat tujuh anggota parti termasuk Murugiah atas tuduhan melanggar perlembagaan parti.

Tiada ulasan: