Sabtu, 30 Mei 2009

Kriteria calon PAS: Tidak lakukan dosa besar, sanggup tinggalkan dosa kecil

BERNAMA


KUALA KRAI: Pas Kelantan sedang meneliti kriteria bakal calon bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada pilihan raya kecil yang ditetapkan 14 Julai depan.

Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Harun, berkata pucuk pimpinan parti akan membuat keputusan rasmi calon yang bertanding kerusi itu selepas menerima pandangan daripada peringkat kawasan, negeri dan pusat.

"Daripada segi agama, kriteria seseorang calon ialah mereka yang tidak melakukan dosa besar dan sanggup meninggalkan dosa kecil dan daripada segi politik pula, ia hendaklah boleh diterima masyarakat setempat dan sanggup memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat sebaik dipilih oleh rakyat di kawasan terbabit," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Abdul Fatah berkata, lazimnya Pas akan mengambil tiga nama yang dicadangkan oleh kawasan dan negeri untuk dikemukakan kepada pimpinan tertinggi parti sebelum membuat keputusan muktamad. Mengenai tarikh pengumuman calon itu, beliau berkata Pas akan mengumumkannya pada masa yang sesuai.

Beliau berkata, Pas selesa dengan tarikh pilihan raya itu kerana ia diadakan selepas muktamar agung parti pada 3 hingga 7 Jun di Shah Alam.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Pas, Ismail Yaakob, akibat serangan penyakit jantung 22 Mei lalu.

Tiada ulasan: